SHAH ALAM, 29 MAC: Seramai 78 pesalah menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) atas kesalahan pembuangan sampah kecil mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), semalam.
PKM itu dilaksanakan serentak di enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata penguatkuasaan itu adalah strategi bersepadu bagi membanteras amalan pembuangan sampah di merata-rata tempat dan jalan awam selaras visi kerajaan MADANI 'Malaysia Bersih, Rakyat Sejahtera'.
"Tabiat membuang sampah kecil itu jika tidak dibendung akan menyumbang kepada masalah besar seperti longkang tersumbat yang menjejaskan keselesaan komuniti setempat dan mengakibatkan banjir kilat di kawasan bandar.
"Kerajaan berhasrat mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan alam sekitar secara bersama.
"Jangan buang puntung rokok, tisu atau tin minuman di merata tempat kerana ia bukan saja mencemarkan alam sekitar, malah menjatuhkan imej negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kor Ming berkata perintah khidmat masyarakat itu menumpukan kepada kerja pembersihan menyeluruh merangkumi siar kaki, jalan awam, sistem saliran, tandas awam dan kawasan pantai.
"Usaha itu juga selaras hasrat kerajaan MADANI untuk membudayakan pengurusan sisa pepejal yang mampan.
"Sehingga kini, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sudah mengeluarkan 1,342 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di tujuh negeri mengikut Akta 672 membabitkan 1,058 warganegara tempatan dan 284 warga asing.
"Tangan yang membuang sampah, tangan itu juga yang perlu membersihkannya. Jadi, jangan buang sampah dan memalukan nama keluarga sendiri," katanya.








