SHAH ALAM, 29 MAC: Rakyat Malaysia semakin berhati-hati dalam mengurus kewangan dengan memilih simpanan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan emas sebagai langkah menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Tinjauan Media Selangor di sekitar Lembah Klang mendapati mereka cenderung mengurangkan perbelanjaan berlebihan serta mengutamakan simpanan dan pelaburan jangka panjang.

Seorang pesara guru, Ramlah Muhammad Ariff, 58, memilih untuk lebih berhemah dalam berbelanja serta melabur dalam emas.
"Dari segi kewangan seharian kita cuba tidak berbelanja boros dan tidak mengikut trend semasa seperti membeli barang viral. Saya juga membeli emas sebagai simpanan untuk diri dan anak-anak pada masa akan datang," katanya ketika ditemui Media Selangor.

Bagi pekerja swasta, Ahmad Basri Roshadi, 34, menjadikan pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebagai langkah persediaan menghadapi kecemasan kewangan.
"Biasanya saya ketepikan 10 peratus daripada pendapatan setiap bulan untuk disimpan dalam ASB atau emas sebagai antara pilihan utama simpanan ketika ini.
"Selain itu, saya juga ada rancang 3 ke 4 simpanan lain macam KWSP dan hartanah juga," katanya.

Sementara itu, pegawai kerajaan, Av. Gopal, 51, berkata beliau mengamalkan disiplin kewangan dengan memperuntukkan sebahagian pendapatan untuk simpanan kecemasan selain melabur dalam hartanah.
"Simpanan saya ada sedikit tetapi lebih banyak kepada pelaburan hartanah. Untuk kecemasan, saya ada pendapatan daripada sewaan rumah dan turut mengetepikan sebahagian gaji sebagai simpanan.
"Bagi isu kenaikan petrol, kita perlu lihat dari sudut lebih terbuka dan bijak berbelanja seperti mengurangkan pergerakan jika tidak perlu," kata bapa anak dua asal Selangor ini.

Dalam pada itu, pesara, Muhammad Azhar Zailaini, 59, berkata beliau masih mempunyai simpanan mencukupi bagi menampung perbelanjaan selepas bersara.
"Saya ada KWSP, Tabung Haji dan juga pekerjaan sampingan untuk tampung perbelanjaan memandangkan keadaan ekonomi agak sukar," katanya.
Jelasnya, kenaikan harga minyak bukanlah kegagalan mana-mana kerajaan, sebaliknya turut dialami negara lain susulan konflik antarabangsa.
"Tidak dinafikan peperangan memberi kesan besar kepada dunia, bukan di Malaysia sahaja. Apa yang akan berlaku tidak dapat dijangka, jadi kita perlu berjimat cermat dalam setiap perbelanjaan," katanya.

Seorang lagi responden, Jo Ahmad, 59, dari sektor swasta, berkata beliau tidak bergantung sepenuhnya kepada KWSP dan menekankan kepentingan mempunyai simpanan alternatif.
"Kos semakin meningkat, jadi kaedah alternatif seperti simpanan dan perniagaan kecil memang perlu untuk kecemasan," katanya.
Pada 20 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sederhana dan berhemah dalam perbelanjaan, khususnya ketika menyambut Aidilfitri, susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan ekonomi global.
Dalam masa sama, kerajaan turut mengambil langkah penyesuaian termasuk menyelaras had penggunaan petrol RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95.
Putrajaya juga mempertimbangkan pelaksanaan waktu kerja lebih anjal, termasuk bekerja dari rumah, bagi menyesuaikan operasi dengan keadaan semasa susulan konflik geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada ekonomi dan kos sara hidup.








