Bekalan baja padi cukup - NAFAS

29 Mac 2026, 3:59 AM
Bekalan baja padi cukup - NAFAS

SHAH ALAM, 29 MAC: Bekalan baja padi negara mencukupi walaupun berlaku ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz.

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berkata, pihaknya melalui Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) mempunyai stok bahan mentah mencukupi untuk pengeluaran baja sebatian sehingga Ogos depan.

Agensi tersebut memaklumkan stok tersebut cukup untuk pelaksanaan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB) membabitkan lebih 200,000 pesawah, lapor Harian Metro.

"Bekalan ini disokong sumber yang pelbagai, termasuk urea daripada sumber tempatan, manakala bahan mentah fosfat diimport dari China, India, Australia dan Maghribi serta potassium dari Kanada dan Russia.

"Kepelbagaian sumber ini membolehkan rantaian bekalan kekal stabil dan berdaya tahan, sekali gus mengurangkan impak terhadap pengeluaran baja walaupun berdepan ketidaktentuan global," katanya.

Dari segi harga, NAFAS berkata, konflik di Asia Barat memberi tekanan jelas kepada pasaran global baja khususnya bahan mentah berasaskan nitrogen seperti urea dan fosfat.

"Negara pengeluar utama seperti Oman, Qatar, Arab Saudi dan Iran, selain China, Russia, Australia dan India menguasai sebahagian besar pengeluaran bahan mentah baja dunia.

"Kesan ini turut dirasai pada peringkat global dengan kenaikan harga bahan mentah diunjurkan 40 peratus atau lebih susulan konflik yang berlaku.

"Berdasarkan pemantauan dan penilaian semasa oleh NAFAS, kos bahan mentah menunjukkan trend peningkatan yang ketara susulan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global," katanya.

NAFAS berkata, peningkatan kos bahan api dan caj insurans perkapalan yang dikenakan syarikat perkapalan meningkatkan kos jualan secara keseluruhan.

"Pada masa sama, sekatan eksport oleh negara pengeluar bahan mentah turut menyukarkan pembelian bahan mentah itu.

"Keadaan ini seterusnya menjejaskan kelancaran bekalan bahan mentah dan keupayaan penyediaan baja bagi program subsidi serta pasaran terbuka," katanya.

Sehubungan itu, katanya, sokongan intervensi kerajaan adalah penting bagi membolehkan rundingan strategik dilaksanakan pada peringkat antarabangsa demi memastikan kelangsungan pembekalan baja ke negara ini.

"Sebagai langkah jangka panjang, NAFAS juga sedang meneroka kerjasama strategik bersama pengeluar bahan mentah global termasuk potensi pembangunan kemudahan pengeluaran dalam negara bagi memperkukuh jaminan bekalan dan kelestarian industri baja negara," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619