Kuota BUDI95 e-panggilan kekal 800 liter bantu stabil kos operasi

27 Mac 2026, 12:25 AM
Kuota BUDI95 e-panggilan kekal 800 liter bantu stabil kos operasi
Kuota BUDI95 e-panggilan kekal 800 liter bantu stabil kos operasi
Kuota BUDI95 e-panggilan kekal 800 liter bantu stabil kos operasi
Kuota BUDI95 e-panggilan kekal 800 liter bantu stabil kos operasi

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Pengekalan had siling Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) hingga 800 liter sebulan bagi pemandu e-panggilan atau e-hailing, dan pekerja gig dilihat sebagai langkah tepat dalam menstabilkan kos operasi golongan itu.

Ketua Aktivis Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM) Masrizal Mahidin berkata langkah berkenaan juga berpotensi merangsang permintaan terhadap perkhidmatan e-panggilan susulan penyelarasan sementara kelayakan BUDI95 bermula bulan depan.

“Penyelarasan sementara kuota ini dijangka mendorong lebih ramai pengguna, khususnya di kawasan bandar, beralih kepada e-panggilan berbanding menggunakan kenderaan sendiri, sekali gus membuka peluang peningkatan pendapatan kepada pemandu,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan kerajaan akan melaksanakan penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat.

Bagaimanapun, untuk meringankan beban rakyat, Perdana Menteri berkata inisiatif BUDI95 dikekalkan pada harga RM1.99 seliter.

Masrizal berkata pengekalan kuota untuk e-panggilan dan pekerja gig memberikan kelegaan segera kepada pemandu, namun menekankan keperluan terhadap penyelesaian jangka panjang dalam mendepani ketidaktentuan harga minyak global.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan pendekatan lebih komprehensif termasuk menyokong peralihan berperingkat sektor e-panggilan kepada kenderaan elektrik (EV) bagi mengurangkan kebergantungan kepada petrol.

“Kerajaan dan pemain industri perlu menyediakan insentif serta infrastruktur mencukupi, di samping memperkukuh perlindungan sosial, insurans, dana kecemasan dan latihan peningkatan kemahiran bagi memastikan daya tahan pekerja gig dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr T Saravanan berkata keputusan mengekalkan subsidi 800 liter mencerminkan kepekaan kerajaan terhadap kumpulan yang bergantung sepenuhnya kepada bahan api sebagai sumber pendapatan.

Beliau berkata langkah itu juga penting bagi memastikan kestabilan pasaran dan mengelakkan sebarang aktiviti tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan bekalan.

“Pelaksanaan had ini bertujuan memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi dan dapat diakses semua pengguna, selain mengelakkan pembelian berlebihan atau aktiviti tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan kestabilan pasaran,” katanya.

Beliau juga berharap pengguna bersabar dan memahami rasional di sebalik penyelarasan sementara kuota BUDI95 yang disifatkannya perlu bagi memastikan keselamatan tenaga, kestabilan bekalan serta pengurusan bahan api lebih berhemat.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619