NASIONAL

Pencemaran kimia: Jawatankuasa Saintifik ditubuh kaji insiden

15 Mac 2019, 1:52 PM
Pencemaran kimia: Jawatankuasa Saintifik ditubuh kaji insiden
Pencemaran kimia: Jawatankuasa Saintifik ditubuh kaji insiden
Pencemaran kimia: Jawatankuasa Saintifik ditubuh kaji insiden
Pencemaran kimia: Jawatankuasa Saintifik ditubuh kaji insiden

JOHOR BAHARU, 15 MAC: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) hari ini menubuhkan Jawatankuasa Saintifik bagi mengenal pasti punca dan penyelesaian kepada pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, tujuan utama penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk membantu jawatan kuasa bencana negeri membuat siasatan secara saintifik berkenaan perkara tersebut.

"Penubuhan jawatankuasa ini perlu kerana selepas kerja pembersihan dilakukan, kita tidak tahu sama ada ia selamat dan kita perlu kajian saintifik untuk memperolehi keputusan yang tepat,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal.

Katanya, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff, Dekan Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Jawatankuasa itu turut dianggotai Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Angkasa Negara, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Jabatan Kimia Negeri Johor, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), UTM dan Petronas.

"Jawatankuasa ini juga bertindak mengumpul dan menganalisa semua data dan seterusnya menyelesaikan dengan lebih tepat masalah ini, " katanya.

Bee Yin berkata tugas jawatankuasa tersebut adalah pengurusan data, menghalang gelombang ketiga gas beracun, pemantauan alam sekitar serta penerobosan kimia berbahaya ke dalam air bawah tanah dan kandungan tanah dasar sungai.

Beliau berkata, setakat ini kawasan seluas 680 meter daripada 1.5 kilometer kawasan paling tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihkan.

Katanya, ​​​​​​​kontraktor dilantik terus melakukan kerja pembersihan selama 24 jam untuk membersihkan baki 900 meter sungai berkenaan.

​​​​​​​"Pada masa sama, membuat pemantauan jika ada kemungkinan ada gas keluar ketika kerja pembersihan dijalankan," katanya.

Beliau meminta orang ramai memberi kerjasama dengan tidak berada dekat dengan tempat pembersihan dan mereka yang tinggal berhampiran tidak perlu bimbang kerana pihak di lapangan sentiasa memantau keadaan di sana.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619