SHAH ALAM, 26 MAC: Orang ramai disaran memantau setiap perbelanjaan dan mengawal komitmen kewangan susulan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Pempengaruh kewangan, Azraie Muhammad berkata langkah paling penting ialah memantau setiap ringgit yang dibelanjakan bermula sekarang bagi memastikan aliran kewangan lebih terkawal.
Menurutnya, pengguna perlu mula mencatat perbelanjaan harian supaya dapat memahami dengan jelas aliran duit masuk dan keluar dalam kehidupan seharian.
“Apabila harga seperti minyak meningkat walaupun masih bersubsidi, ia tetap memberi kesan kepada perbelanjaan harian.
“Sebab itu kita perlu pantau setiap ringgit dan mula catat perbelanjaan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan keperluan berbanding kehendak dalam situasi ekonomi semasa yang mencabar.
Katanya, pembelian tidak mendesak seperti telefon, kereta atau rumah wajar ditangguhkan bagi mengelakkan beban kewangan baharu.
Selain itu, perbelanjaan gaya hidup seperti langganan platform penstriman, makan di luar dan hiburan juga perlu dikurangkan bagi membantu mengawal kewangan.
Dalam masa sama, Azraie menegaskan kepentingan membina dana kecemasan sekurang-kurangnya enam bulan gaji sebagai langkah persediaan menghadapi situasi tidak dijangka.
“Usaha menambah pendapatan digalakkan, namun perlu dilihat secara realistik dalam keadaan ekonomi mencabar.
“Yang penting, sediakan belanjawan bulanan dan mula menyimpan walaupun kecil seperti RM30 sebulan atau RM1 sehari,” katanya lagi.




