SHAH ALAM, 27 MAC: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan penjualan mercun termasuk pelesenan, jumlah jualan serta lokasi dibenarkan bagi meminimumkan risiko kemalangan.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata langkah memperketat SOP dan aspek keselamatan perlu, bagi memastikan keselamatan awam terpelihara sekali gus membolehkan sambutan Aidilfitri diraikan dalam suasana selamat tanpa insiden kemalangan.
“Kerajaan Negeri memandang serius kejadian kebakaran mercun yang menimbulkan insiden-insiden kemalangan termasuk di tempat simpanan dan sebagainya yang berlaku akibat daripada kecuaian, kelalaian serta mengabaikan faktor keselamatan.
“Oleh itu saya telah minta semua PBT, kita akan kaji semua SOP tentang jualan mercun termasuk lesen yang akan dikeluarkan, bilangannya, lokasinya, untuk kita teliti semula dan perketatkan SOP serta keselamatan.
“Bagi PBT pada mesyuarat stanco Kerajaan Tempatan akan datang kita akan bincang tentang keselamatan, SOP untuk diketatkan supaya kita sentiasa berjaga-jaga. Kalau boleh kita nak elakkan dan meminimakan insiden-insiden kemalangan ini,” katanya kepada Media Selangor.

Tegasnya, penggunaan mercun oleh orang awam juga perlu dilakukan secara tertib dan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan.
“Ini supaya dalam suasana kita meraikan hari raya, kita dapat elakkan daripada berlaku kemalangan dan keselamatan dapat dipelihara. Jadi pembakaran mercun juga harus tertib bagi mengelak kemungkinan berlakunya insiden kemalangan semasa bakar mercun,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) menyemak semula SOP gerai jualan bunga api sementara di seluruh negara bagi memastikan musim perayaan disambut dengan selamat tanpa insiden tidak diingini.
Langkah itu bertujuan memastikan setiap peniaga beroperasi dengan penuh tanggungjawab dan keselamatan komuniti setempat diutamakan.
Garis panduan itu antara lain menekankan jarak keselamatan yang sesuai antara gerai serta menilai semula lokasi supaya tidak terlalu hampir dengan struktur kekal atau kawasan kediaman.
Insiden kebakaran gerai jualan bunga api dilaporkan berlaku di beberapa lokasi. Awal pagi Ahad lalu, sebuah gerai pelbagai jenis mercun di Taman Pekaka, George Town, Pulau Pinang, musnah, mengakibatkan kerosakan sebuah motosikal dan tiga unit penyaman udara rumah berhampiran.

Manakala pada Isnin lepas, kebakaran serupa berlaku di Majidee Corner 1C, Jalan Bunga Ros, Johor Bahru, yang memusnahkan sebuah gerai mercun, sebuah kereta Proton Gen-2, dan sebuah trak makanan.
Turut dilaporkan pada Selasa lalu, sebuah premis mercun yang terbakar di Wakaf Che Yeh, Kelantan terbakar dan forensik bomba mengenal pasti punca kebakaran disebabkan litar pintas akibat sambungan wayar elektrik dari premis kedai makan ke lampu warna warni khemah jualan mercun terbabit.
Pada Februari tahun ini, sebuah unit pangsapuri di Residensi Adelia, Persiaran Bangi Avenue, Kajang, hampir musnah selepas berlaku kebakaran dan polis memaklumkan bahawa pemeriksaan mendapati bahan letupan (mercun) berada di seluruh kawasan rumah, dan bukan hanya di bilik utama yang terbakar.










