Strok haba: Kenali tanda awal, boleh ragut nyawa tanpa amaran

26 Mac 2026, 2:32 AM
Strok haba: Kenali tanda awal, boleh ragut nyawa tanpa amaran
Strok haba: Kenali tanda awal, boleh ragut nyawa tanpa amaran
Strok haba: Kenali tanda awal, boleh ragut nyawa tanpa amaran
Strok haba: Kenali tanda awal, boleh ragut nyawa tanpa amaran

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan tanda awal strok haba terutama kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik yang mudah terdedah kepada komplikasi itu.

Pakar Perubatan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim berkata strok haba ialah satu spektrum yang berlaku disebabkan kepanasan melampau akibat cuaca terlalu panas yang didahului kelesuan haba.

Beliau berkata apabila cuaca terlalu panas, badan akan cuba untuk menurunkan suhu dalam badan kerana ia hanya boleh berfungsi secara optimum dalam julat suhu lebih kurang 37 darjah Celsius.

“Lebih daripada itu, protein, enzim dan hormon dalam badan tidak berfungsi secara optimum dan akan menyebabkan organ boleh berisiko untuk gagal, seterusnya mungkin boleh membawa maut.

“Apabila suhu itu naik, badan kita akan mengalami tanda yang kita panggil kelesuan haba… Jika kita biar badan lama-lama, ia tak boleh nak menampung suhu optimum, ia akan menjadi strok haba,” katanya ketika ditemu bual dalam Ruang Bicara bertajuk Strok Haba: Risiko Nyawa Dalam Diam terbitan Bernama TV malam tadi.

Dr Megat Mohamad Amirul berkata gejala dan tanda awal strok haba yang perlu diawasi adalah suhu badan melebihi 40 darjah Celcius, fungsi otak terjejas seperti bercelaru atau meracau, pengsan dan sawan.

Beliau berkata antara langkah yang perlu diambil sekiranya tanda berkenaan kelihatan ialah longgarkan atau tanggalkan pakaian, mandi atau basahkan anggota badan seperti kepala, leher dan ketiak, tempatkan diri di ruangan yang sejuk dan minum minuman sejuk dengan segera.

"Jika pertolongan pertama ini tidak dilakukan, maka risiko terjadinya strok haba sangat tinggi… individu akan menjadi semakin lesu dan sedikit demi sedikit organ penting dalam tubuh terjejas," katanya.

Orang ramai diminta mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan strok haba. Foto BERNAMA

Dr Megat Mohamad Amirul menjelaskan jika terjadi strok haba, individu tersebut tidak akan mengeluarkan peluh lagi kerana telah mengalami dehidrasi yang sangat teruk.

"Air kencing pada mereka yang mengalami kelesuan haba dan strok haba juga berkurang atau hampir tiada kerana dehidrasi teruk akibat tiada pertolongan pertama diberikan dan ia boleh menyebabkan kerosakan organ dalaman dan seterusnya boleh menyebabkan maut jika tidak diberi rawatan lanjut.

“Jika keadaan begitu, maka mereka perlu segera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.

Menurut beliau, kanak-kanak dan warga emas yang mempunyai penyakit kronik berisiko mendapat strok haba jika terdedah dengan cuaca panas terlalu lama kerana kadar ketahanan badan mereka lebih lemah daripada badan orang dewasa yang sihat.

Dr Megat Mohamad Amirul berkata gaya hidup serta pemakanan seharian juga sangat penting bagi menjaga hidrasi badan sepanjang cuaca panas.

“Elakkan berada di bawah panas terik terlalu lama dan kurangkan aktiviti luar rumah iaitu antara 11 pagi hingga 4 petang kerana ketika inilah cahaya matahari sangat terik dan keadaan membahang lebih mudah menyebabkan kelesuan haba.

“Selain itu, dari segi pemakanan, elakkan daripada mengambil terlalu banyak kafien dan alkohol serta makanan masin kerana ia boleh mempercepat pengurangan kadar hidrasi badan,” katanya.

Beliau berkata amalan minum air kosong lapan gelas sehari mampu mengekalkan hidrasi dalam badan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619