Anwar: Jangan campur tangan urusan PDRM tangani sindiket jenayah

25 Mac 2026, 8:34 AM
Anwar: Jangan campur tangan urusan PDRM tangani sindiket jenayah

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberikan amaran keras kepada mana-mana pihak berpengaruh supaya tidak mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan tindakan undang-undang, khususnya membabitkan sindiket jenayah berskala besar.

Beliau berkata kecenderungan pihak tertentu yang cuba melindungi individu atau kumpulan berpengaruh sebelum ini hanya menyukarkan tugas pasukan keselamatan itu dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Jangan ada campur tangan menghalang tindakan oleh PDRM dan badan penguat kuasa. Kadang-kadang yang melindungi itu orang-orang berpengaruh. Ini menyukarkan kerja PDRM.

“Saya memberikan satu arahan yang sangat jelas, kalau benar kita mahu bertindak, kita juga memberikan nasihat kepada semua yang lain agar jangan sesekali menghalang," kata beliau ketika berucap pada majlis sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan timbalannya Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay serta pengarah-pengarah Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Anwar turut merakamkan penghargaan atas keberanian PDRM yang kini dilihat lebih agresif menumpaskan sindiket haram dan perasuah besar yang sebelum ini seolah-olah ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang selama puluhan tahun.

“Syukur kerana saya lihat ada ketegasan dan keberanian bertindak, bukan sahaja kepada perasuah kecil tetapi perasuah besar yang bermaharajalela selama puluhan tahun tetapi tidak pernah berani disentuh.

“Sindiket-sindiket haram yang besar ini telah lama terpendam dalam sistem kita dan saya ucap tahniah kerana (PDRM) berjaya mematahkannya hasil profesionalisme, tekad, dan keberanian," kata beliau.

Beliau berkata di bawah kerangka Negara MADANI, kerajaan komited memastikan undang-undang tidak lagi dirangka atau dilaksanakan hanya untuk memihak kepada kelompok tertentu yang mempunyai kuasa dan harta.

Perdana Menteri berkata rakyat kini mula menghargai jasa serta pengorbanan PDRM yang berjaya mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara paling aman di dunia, meskipun berdepan pelbagai cabaran keselamatan domestik dan global.

Sehubungan dengan itu, Anwar menggesa warga PDRM supaya terus meningkatkan tahap profesionalisme dan integriti sebagai prasyarat utama dalam memacu transformasi negara.

Beliau berkata keamanan yang dikecapi hasil pengorbanan pasukan keselamatan adalah asas penting yang membolehkan kerajaan menumpukan usaha terhadap reformasi ekonomi, agenda teknologi maklumat (IT) serta transformasi digital.

"Tugas kita adalah memperingati jasa khidmat yang lepas dan meletakkan satu garis panduan hala tuju baharu untuk meningkatkan tahap profesionalisme serta integriti pasukan polis.

“Dalam mana-mana pembaharuan atau reformasi, agenda itu bermula dengan prasyarat keamanan. Sebagai rakyat, kita harus dizahirkan penghargaan setinggi-tingginya atas khidmat, pengorbanan, dan kesetiaan PDRM sehingga Malaysia diiktiraf antara negara paling aman di dunia," kata beliau.

Pada majlis itu, Anwar turut melancarkan Buku MESRA PDRM - Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak & Remaja.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619