Naik taraf Pasar Kajang dipercepat, tidak jejas peniaga

26 Mac 2026, 1:00 AM
Naik taraf Pasar Kajang dipercepat, tidak jejas peniaga
Naik taraf Pasar Kajang dipercepat, tidak jejas peniaga

KAJANG, 26 MAC: Kerja naik taraf dan penyelenggaraan Pasar Kajang akan dipercepat bagi memastikan kemudahan lebih baik tanpa menjejaskan peniaga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young berkata beliau akan mengadakan mesyuarat bersama peniaga dan pihak berkaitan dalam masa terdekat bagi menyelaras pelaksanaan projek itu.

Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini meluluskan RM15 juta untuk membina semula pasar berkenaan, namun cadangan itu ditukar kepada naik taraf selepas mendapat bantahan peniaga.

“Pasar ini tidak akan dibina semula. Kita hanya lakukan naik taraf supaya peniaga tidak hilang sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berkata lebih 100 peniaga kini beroperasi di pasar itu, manakala tingkat dua kurang digunakan dan kebanyakannya dijadikan stor.

Sehubungan itu, usaha akan dibuat untuk menarik lebih ramai pengunjung ke tingkat berkenaan bagi menghidupkan semula perniagaan.

Selain itu, masalah kekurangan tempat letak kereta turut dibangkitkan penduduk dan peniaga, dengan cadangan menambah parkir jika ada lebihan peruntukan.

Pada 2024, KPKT memperuntukkan RM180 juta bagi pembinaan 12 pasar awam di seluruh negara, termasuk RM77 juta untuk empat projek di Selangor, antaranya Pasar Kajang.

Pasar itu juga menerima tambahan RM850,000 bagi kerja naik taraf seperti membaiki tandas, menukar kabel, memasang jubin lantai dan mengecat semula.

Pasar Kajang yang terletak berhampiran Sungai Jelok di Jalan Changkat merupakan pasar utama di kawasan itu dan menjadi tumpuan penduduk mendapatkan barangan segar serta keperluan harian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619