Sambut Syawal bersama keluarga, Pusat Reintegrasi Penghuni Sepang rai Aidilfitri

25 Mac 2026, 5:00 AM
Sambut Syawal bersama keluarga, Pusat Reintegrasi Penghuni Sepang rai Aidilfitri
Sambut Syawal bersama keluarga, Pusat Reintegrasi Penghuni Sepang rai Aidilfitri
Sambut Syawal bersama keluarga, Pusat Reintegrasi Penghuni Sepang rai Aidilfitri

SEPANG, 25 MAC: Sambutan Aidilfitri pada tahun ini disifatkan lebih bermakna apabila keluarga penghuni Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Sepang di sini, diberi peluang bertemu secara empat mata.

Bagi Siti (bukan nama sebenar), 63, beliau sangat gembira apabila julung kali dapat meraikan lebaran bersama menantunya, Shah (bukan nama sebenar) tanpa sebarang halangan di sebalik tembok atau tirai besi.

“Sebelum datang sini memang rasa teruja dan gembira sangat sebab sudah lama tidak beraya dengan dia. Saya pun sudah anggap dia seperti anak sendiri, bukan sekadar menantu.

“Cuma, saya tidak dapat bawa juadah hari raya. Nanti apabila dia dibebaskan Mei ini, saya akan masakkan juadah rendang daging kegemaran dia,” katanya.

Terdahulu, Siti yang juga pesara guru, hadir ditemani cucunya ke program Sambutan Hari Raya PRP Sepang Bersama Keluarga di PRP Sepang di sini, semalam.

Sementara itu, ODS Shah, 41, menyifatkan Syawal kali ini lebih istimewa dengan kehadiran Siti bersama anak tunggalnya yang berumur 12 tahun dari Ampang ke PRP Sepang.

“Sebelum ini, empat tahun saya sambut hari raya di Penjara Sungai Buloh. Di sana keadaannya lebih ketat. Jadi apabila dipindahkan ke sini, saya bersyukur kerana dapat sambut dengan keluarga,” katanya.

Orang Di Selia (ODS) Shah, 41, (bukan nama sebenar) ditemubual wartawan ketika program Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama ahli keluarga di Pusat Reintegrasi Penghuni, Sepang pada 24 Mac 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Bagi ODS Hafiz (bukan nama sebenar), 34, beliau mahu memohon kemaafan daripada ibu bapa serta isterinya sebaik ahli keluarganya itu tiba dari Temerloh, Pahang ke PRP Sepang.

Beliau mengakui tidak dapat menyembunyikan perasaan gemuruh sebaik dimaklumkan mengenai program sambutan tersebut dan berazam memanfaatkan masa tersebut sebaik mungkin.

“Memang rasa gemuruh. Tapi saya mahu minta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan saya lagi. Saya juga harap, keluarga dapat beri peluang kedua kepada saya,” katanya yang dihukum atas kesalahan pengedaran dadah.

Orang Di Selia (ODS) Hafiz, 34, (bukan nama sebenar) ditemubual wartawan ketika program Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama ahli keluarga di Pusat Reintegrasi Penghuni, Sepang pada 24 Mac 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

PRP Sepang yang terletak di Kampung Ulu Teris, merupakan pusat pemulihan fasa akhir seliaan Jabatan Penjara Malaysia yang menempatkan seramai 457 penghuni dengan baki hukuman tiga tahun ke bawah.

Semua ODS diberi pelbagai kemahiran seperti pertanian, menjahit, memasak, serta turut peluang berkhidmat bersama komuniti dan bekerja dengan pihak industri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619