SHAH ALAM, 24 MAC: Detik cemas sebuah keluarga apabila anak perempuan mereka tertinggal di hentian rehat berakhir lega selepas berjaya ditemui dengan bantuan pantas polis.
Kejadian berlaku di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Merab, Lebuhraya Utara-Selatan pada Isnin ketika keluarga berkenaan meneruskan perjalanan sebelum menyedari remaja tersebut tiada bersama mereka.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata bapa remaja itu kemudian memaklumkan kejadian kepada anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya di bawah pentadbiran Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda.
Menurutnya, susulan maklumat itu, Koperal Rodzery Adderly Anak Raden bersama Lans Koperal Muhammad Amirul Fazid Mohamed Shukri segera bertindak dengan mengiringi keluarga terbabit ke lokasi berkenaan.
"Hasil usaha tersebut, remaja perempuan berkenaan berjaya ditemui dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhizam berkata, pihak polis akan terus komited dalam memberikan bantuan kepada masyarakat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam sentiasa terpelihara.





