SHAH ALAM, 24 MAC: Indah Water Konsortium (IWK) mempertingkat kesiapsiagaan operasi sepanjang musim perayaan bagi memastikan sistem pembetungan awam terus berfungsi dengan cekap, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan memaklumkan IWK menyelenggara 7,767 loji rawatan kumbahan dan 1,564 stesen pam, selain mengurus rangkaian paip pembetungan sepanjang 23,550 kilometer di Semenanjung.
Menurutnya, keseluruhan aset itu menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 32 juta penduduk setara.
“Bagi memastikan operasi berada pada tahap optimum, IWK melaksanakan pemantauan berterusan, penyelenggaraan berkala, pemeriksaan tapak serta tindakan pembaikan segera sekiranya berlaku kerosakan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, IWK turut memperkukuh pasukan operasi dengan penambahan tenaga kerja sokongan serta penggunaan peralatan khas termasuk sistem amaran awal bagi menangani insiden seperti sumbatan paip, kerosakan pam, limpahan dan isu bau.
Langkah proaktif berkenaan selaras komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mengekalkan kualiti perkhidmatan pembetungan, khususnya bagi mengelakkan gangguan kepada keselesaan rakyat sepanjang tempoh perayaan.
Orang ramai yang ingin membuat aduan boleh menghubungi talian khidmat pelanggan IWK di 03-2083 2828 atau e-mel care@iwk.com.my
Dalam perkembangan sama, IWK terus komited membantu golongan memerlukan menerusi pemberian rebat khas kepada pelanggan berdaftar dengan eKasih.
Sehingga Disember 2025, lebih RM1.1 juta dibelanjakan bagi menampung rebat bil pembetungan, sejajar usaha memastikan perkhidmatan utiliti berkualiti disertai komitmen sosial berterusan.









