GUA MUSANG, 24 MAC: Aliran trafik di Jalan Kuala Krai-Gua Musang bergerak perlahan sejauh kira-kira 20 kilometer dari kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rantau Manis menghala ke bandar Gua Musang hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata kesesakan itu berlaku berikutan pertambahan bilangan kenderaan perantau yang ingin pulang ke ibu kota selepas cuti perayaan Aidilfitri.
“Pengguna dinasihatkan agar banyak bersabar dan mengamalkan sikap toleransi di jalan raya untuk memastikan urusan berjalan dengan lancar dan selamat.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan memandu secara berhemah agar tidak terlibat dalam kemalangan yang boleh menyebabkan kesesakan jalan raya bertambah teruk,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di beberapa laluan utama Kuala Krai-Gua Musang termasuk berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh turut mendapati kenderaan perantau bergerak perlahan dan dijangka mengalami kelewatan untuk tiba ke destinasi, setakat 3 petang tadi.
Pengguna jalan Mohd Firdaus Nur Ahmad, 37, berkata dia terpaksa menempuh perjalanan sehingga lebih tiga jam dari Kuala Krai sebelum tiba di Gua Musang akibat aliran trafik yang perlahan.
“Saya terpaksa berhenti rehat di R&R Gua Musang sebelum meneruskan perjalanan untuk kembali bekerja esok,” katanya.








