SHAH ALAM, 24 MAC: Kejatuhan ranking skuad Harimau Malaya sebanyak 14 anak tangga dalam kedudukan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mencetuskan gesaan reformasi menyeluruh terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, penurunan daripada tangga ke-121 ke kedudukan ke-135 itu perlu dijadikan pengajaran penting untuk memperkukuh ekosistem bola sepak negara.
Menurut beliau, kemerosotan tersebut berpunca daripada keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan dua kemenangan skuad kebangsaan dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 ke atas Vietnam dan Nepal.
“Saya turut merasai kekecewaan rakyat Malaysia, khususnya peminat bola sepak tempatan yang mengikuti perkembangan kontroversi melibatkan skuad kebangsaan sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
Beliau menegaskan semua pihak perlu mengambil iktibar daripada situasi berkenaan serta melaksanakan langkah sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.
Dalam masa sama, pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi perlu terus diperkasakan sebagai asas kepada kebangkitan semula prestasi skuad kebangsaan.

“Pembangunan bola sepak, terutama di peringkat akar umbi juga, perlu diteruskan dan saya menggesa semua rakyat Malaysia supaya terus memberikan sokongan kepada sukan ini,” katanya lapor Berita Harian.
Dr Mohammed Taufiq turut menegaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran FAM.
Sebaliknya, KBS akan terus memainkan peranan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memperkasa pembangunan bakat tempatan termasuk memperkukuh Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).
“NFDP akan terus diperkukuh sebagai rakan strategik FAM dalam melahirkan lebih ramai pemain berkualiti untuk skuad kebangsaan,” katanya.
Selain itu, KBS juga akan mengadakan sesi libat urus berkala bersama FAM bagi mendapatkan maklum balas berhubung strategi mengelakkan kejatuhan ranking lebih lanjut, khususnya selepas perubahan sistem ranking FIFA yang kini dikemas kini secara langsung.
Beliau turut berharap semua pihak memberi ruang kepada FAM dengan bantuan AFC untuk melaksanakan reformasi dalaman termasuk mengadakan kongres bagi memilih kepimpinan baharu.
Dalam masa sama, Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan terus memantau pematuhan FAM terhadap perlembagaan organisasi serta Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) bagi memastikan tadbir urus kekal telus dan teratur.









