SHAH ALAM, 24 MAC: Kegembiraan sebuah keluarga bertukar detik cemas apabila nyaris menjadi mangsa letupan bunga api yang memasuki kenderaan mereka di Jambatan Angkat di Kuala Nerus, Kuala Terengganu Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Rashidi Ihshak, 38, sedang memandu pulang ke rumahnya di Kampung Seberang Takir bersama isteri, Fatin Diyana Idris, 36, serta empat anak mereka berusia antara 18 bulan hingga sembilan tahun.
Rashidi berkata, ketika kejadian dia memandu dengan tingkap terbuka sebelum satu percikan bunga api secara tiba-tiba memasuki kenderaan dan terkena pada tangan kirinya.
"Saya bersyukur sangat, kalau bunga api itu tidak terkena tangan saya, mungkin dah melantun kena ke arah muka bayi perempuan saya yang duduk di pangkuan isteri di kerusi penumpang hadapan.
"Bunga api itu meletup lepas terkena cermin depan sebelum pecah. Dalam keadaan cemas itu saya segera berhenti kereta untuk periksa keadaan tiga lagi anak di tempat duduk belakang," katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Menurutnya, dia tidak dapat memastikan individu yang bertanggungjawab memandangkan kawasan sekitar Jambatan Angkat itu sesak dengan orang ramai yang bermain bunga api pada malam ambang Aidilfitri.
Walaupun mengalami luka kecil di tangan serta kerosakan pada cermin kenderaan, Rashidi bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat.
"Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya sangat kesal dengan tindakan segelintir individu yang menjadikan bahu jalan sebagai tempat bermain bunga api kerana ia sangat berbahaya dan tidak terkawal.
"Saya tidak berhasrat untuk membuat laporan polis, cuma saya harap agar kejadian ini menjadi iktibar kepada orang ramai supaya lebih sensitif dan memilih lokasi yang selamat untuk bermain bunga api tanpa membahayakan nyawa orang lain," ujarnya.








