Serangan AS-Israel sasar kemudahan tenaga Iran, ketegangan rantau makin memuncak

24 Mac 2026, 4:35 AM
Serangan AS-Israel sasar kemudahan tenaga Iran, ketegangan rantau makin memuncak

ISTANBUL, 24 MAC: Serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel pada Isnin dilaporkan menyasarkan kemudahan berkaitan tenaga di wilayah Isfahan dan bandar barat daya Khorramshahr di Iran, menurut Anadolu Ajansi, memetik media Iran.

Di Isfahan, sebuah bangunan pentadbiran gas asli dan stesen pengurangan tekanan gas diserang menyebabkan kerosakan pada bahagian fasiliti dan rumah berdekatan, lapor Agensi Berita Fars.

Di Khorramshahr, saluran paip gas asli milik loji jana kuasa disasarkan. Pegawai di Khorramshahr berkata sebuah peluru berpandu mengena kawasan di luar stesen saluran paip gas asli namun tiada kemalangan jiwa.

Walaupun tiada maklumat mengenai gangguan bekalan elektrik di Isfahan, dilaporkan bekalan kuasa berterusan tanpa gangguan di Khorramshahr hasil usaha berterusan.

Presiden AS Donald Trump mengumumkan pada Sabtu, AS akan "melenyapkan" loji jana kuasa Iran jika Tehran tidak membuka semula Selat Hormuz sepenuhnya kepada penghantaran komersial dalam tempoh 48 jam.

Sebagai tindak balas, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran mengumumkan sebarang serangan ke atas infrastruktur Iran akan mencetuskan serangan "timbal balik" serta-merta ke atas grid tenaga serantau dan loji penyahgaraman, khususnya yang menyokong pangkalan Israel atau AS.

Serangan terbaharu itu berlaku selepas Trump berkata pada Isnin, beliau telah mengarahkan penangguhan lima hari semua serangan ke atas loji jana kuasa Iran dan infrastruktur tenaga, mengatakan perbincangan "sangat baik dan produktif" dengan Tehran sejak dua hari lepas.

Ketegangan memuncak di rantau ini susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb.

Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel dan negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619