Gerai mercun terbakar: Tiga termasuk wanita ditahan

24 Mac 2026, 1:48 AM
Gerai mercun terbakar: Tiga termasuk wanita ditahan

SHAH ALAM, 24 MAC: Tiga individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kebakaran melibatkan sebuah gerai jualan bunga api di Taman Pekaka, Nibong Tebal, tengah malam Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata penahanan melibatkan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan.

"Kesemua suspek direman selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Mac ini untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan iaitu berkaitan kelakuan cuai melibatkan bahan letupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.05 tengah malam.

Beliau berkata, kejadian berkenaan mengakibatkan kerosakan beberapa harta benda termasuk sebuah motosikal, dua buah kereta serta premis berhampiran melibatkan sebuah restoran dan sebuah rumah kediaman.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati gerai jualan bunga api itu mempunyai permit yang sah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata punca kebakaran yang menyebabkan letupan bunga api sebelum merebak ke kawasan sekitar masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta mematuhi peraturan keselamatan ketika mengendalikan bahan mudah terbakar khususnya sepanjang musim perayaan.

“Langkah ini penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sebuah gerai jualan bunga api berkeluasan 10 x 10 kaki hampir musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619