Konflik Asia Barat: Bekalan ubat negara stabil, pasukan petugas ditubuh pantau impak

23 Mac 2026, 6:46 AM
Konflik Asia Barat: Bekalan ubat negara stabil, pasukan petugas ditubuh pantau impak

PUTRAJAYA, 23 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan bekalan ubat-ubatan dalam negara ketika ini berada pada tahap stabil dan terkawal meskipun berlaku konflik di Asia Barat.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesan konflik Asia Barat untuk jangka masa pendek adalah minimum berdasarkan penilaian semasa.

"Paras stok ubat fasiliti KKM disimpan antara satu hingga tiga bulan berdasarkan keperluan penggunaan dan disokong oleh stok penimbal tambahan hingga dua bulan di peringkat syarikat konsesi bagi ubat-ubatan yang dibekalkan melalui konsesi logistik," menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan pemantauan bekalan ubat turut dilaksanakan secara berterusan melalui mekanisme sedia ada termasuk sistem pelaporan gangguan bekalan oleh Pemegang Pendaftaran Produk (PRH) yang dikendalikan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Hingga semalam (22 Mac), tiada peningkatan trend dalam pelaporan PRH melibatkan gangguan bekalan ubat-ubatan dikesan," menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, maklum balas daripada pihak industri farmaseutikal tempatan menunjukkan pengilang tempatan mempunyai stok bahan mentah hingga tiga bulan dan produk siap sekitar dua bulan.

Pihak pengimport turut melaksanakan pemantauan rapi terhadap rantaian bekalan masing-masing bagi memastikan kelangsungan bekalan ubat.

KKM memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan konflik di Asia Barat secara teliti dan komited mengambil langkah proaktif bagi memastikan keterjaminan bekalan ubat kepada rakyat.

"Ini termasuk penubuhan pasukan petugas yang terdiri daripada pihak industri farmaseutikal dan pihak berkepentingan berkaitan untuk pemantauan serta memastikan keterjaminan bekalan ubat terutama melibatkan ubat-ubatan di bawah Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML) di Malaysia," menurut kenyataan itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619