KOTA BHARU, 23 MAC: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas rokok elektronik bernilai RM750,000 disyaki cuba diseludup ke negara jiran dalam operasi di Taman Bahagia, di sini, Rabu lepas.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata operasi intra dan inter agensi menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan (OTWK) itu dilaksanakan oleh Batalion 8 PGA dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kota Bharu serta Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tumpat.
Beliau berkata dalam serbuan kira-kira 2.30 pagi di sebuah flat itu, pasukan serbuan mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan cuba membuka sebuah stor.
"Lelaki itu melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa manakala pemeriksaan lanjut dalam stor menemukan 1,800 unit peranti rokok elektronik serta 3,800 unit kartrij cecair berkapasiti 30 mililiter setiap satu dengan jumlah keseluruhan 114 liter," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata kes berkenaan diserahkan kepada pihak JKDM untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Dalam kes lain, beliau berkata pasukan Strike Force menahan 14 pendatang tanpa izin warga Myanmar dan dua tekong darat warga tempatan kira-kira 5.30 pagi di Kampung Chat, Tumpat, pada hari sama.
“Kesemua mereka ditahan ketika menaiki dua kenderaan dan pemeriksaan mendapati 14 warga Myanmmar itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah,” katanya.
Berdasarkan siasatan awal, dua tekong terbabit disyaki menerima upah RM500 bagi setiap perjalanan untuk membawa warga asing tersebut ke Johor.
Ahmad Radzi berkata pihaknya merampas 20 telefon bimbit dan menyita dua kenderaan terbabit yang kesemuanya dianggar bernilai RM170,000.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.







