Agong, PM dan menteri Kabinet solat sunat Aidilfitri di Istana Negara

21 Mac 2026, 3:37 AM
Agong, PM dan menteri Kabinet solat sunat Aidilfitri di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara di sini.

Solat sunat berkenaan turut disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis.

Turut menyertai antaranya Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul, Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh serta para perwakilan asing.

Seri Paduka Baginda dan jemaah kemudian bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang dipimpin Pegawai Agama Istana Negara Datuk Munir Md Salleh.

Sultan Ibrahim turut berkenan mendengar khutbah bertajuk “Syawal: Bangkit Daripada Ujian, Bersatu Dalam Keimanan” yang disampaikan Munir.

Khutbah berkenaan antara lain mengingatkan masyarakat supaya tidak lupa terhadap penduduk di rantau Asia Barat yang sedang berhadapan dengan konflik dan pergolakan yang semakin meruncing.

Sehubungan itu, khatib menyeru umat Islam untuk memperkukuhkan kesatuan, menghindari perpecahan serta sentiasa memelihara keamanan dalam masyarakat.

Dalam masa sama, rakyat juga diseru mengamalkan sikap berjimat cermat dan tidak berlebih-lebihan dalam perbelanjaan susulan keadaan dunia yang tidak menentu akibat konflik dan peperangan.

Selesai khutbah, Seri Paduka Baginda berkenan bersalaman dengan para jemaah sebelum berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619