Khutbah Aidilfitri: Syawal titik permulaan baharu tingkat ketakwaan umat Islam

21 Mac 2026, 2:58 AM
Khutbah Aidilfitri: Syawal titik permulaan baharu tingkat ketakwaan umat Islam

SHAH ALAM, 21 MAC: Umat Islam diseru menjadikan bulan Syawal sebagai titik permulaan baharu untuk memperkukuh ketakwaan dan meningkatkan rasa syukur kepada Allah SWT.

Menerusi teks khutbah Aidilfitri bertajuk Syawal Permulaan Baru, umat Islam diingatkan agar hari kemenangan ini dimanfaatkan sebagai peluang memperbaiki diri ke arah kehidupan yang lebih bertakwa.

Khutbah itu menegaskan laungan takbir dan tahmid pada 1 Syawal merupakan tanda kesyukuran atas nikmat menyempurnakan ibadah puasa sepanjang Ramadan.

"Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu… dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu semoga kamu bersyukur," katanya.

Menurut khutbah berkenaan, Islam mendidik umatnya supaya sentiasa mengagungkan Allah SWT, manakala Ramadan berperanan sebagai madrasah tarbiah yang membentuk jiwa agar tunduk dan patuh kepada kebesaran-Nya.

Selain itu, umat Islam diingatkan bahawa tiada yang lebih besar dan berkuasa selain Allah SWT, justeru mereka diperintahkan untuk bertakbir serta mensyukuri nikmat iman, Islam, kehidupan dan keamanan.

"Sesungguhnya dalam hati dan fikiran kita, hanya Allah SWT Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar," katanya.

Orang ramai hadir ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mac 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Khutbah berkenaan turut menjelaskan bahawa takbir raya bukan sekadar tanda kegembiraan, sebaliknya mengingatkan kepada perjuangan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dalam mempertahankan Islam, termasuk peristiwa peperangan al-Ahzab.

Peristiwa itu menjadi bukti bahawa kemenangan umat Islam datang daripada keimanan, kesabaran dan pertolongan Allah SWT.

"Ia mengingatkan kita bahawa iman, kesabaran dan tawakkal kepada Allah SWT akan membawa kepada kejayaan serta menjauhkan kita daripada kegagalan," menurut teks berkenaan.

Dalam pada itu, khutbah menegaskan Syawal bukan sekadar bulan kegembiraan, tetapi permulaan baharu untuk kembali kepada fitrah dengan memperkukuh ketaatan kepada Allah SWT.

Justeru, umat Islam diseru meneruskan amalan baik seperti bertaubat, menjaga solat, memelihara aurat serta mengamalkan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan.

"Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang nyata bagimu," katanya membacakan maksud surah al-Baqarah ayat 208.

Mengakhiri khutbah, umat Islam diingatkan supaya tidak mencemari Aidilfitri dengan perkara keji, sebaliknya meneruskan amalan baik seperti membaca al-Quran, bersedekah serta mengimarahkan masjid dan surau.

Selain itu, masyarakat turut digesa menjaga keharmonian dengan mengelakkan fitnah, hasad dengki dan perbalahan, khususnya ketika ziarah Aidilfitri.

"Aidilfitri mengajar kita meneruskan kebaikan yang telah dibiasakan agar menjadi budaya serta hidup dalam perdamaian, kerukunan dan keharmonian sambil menjauhkan diri daripada berita palsu, fitnah, hasad dengki, caci-mencaci, dan hasut-menghasut," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619