SHAH ALAM, 20 MAC: Orang ramai dinasihatkan menggunakan tenaga dan air secara cekap serta berhemah, terutama semasa musim perayaan Aidilfitri yang biasanya menyaksikan peningkatan penggunaan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga serta Transformasi Air (PETRA) penggunaan elektrik rumah dijangka meningkat antara 20 hingga 40 peratus berbanding biasa.
Menerusi kenyataan hari ini, Datuk Amar Fadillah Yusof menambah penggunaan air pula dijangka naik antara 30 hingga 35 peratus di negeri tumpuan perantau pulang berhari raya.
Sehubungan itu, PETRA menyarankan langkah-langkah mudah penjimatan tenaga elektrik:
Matikan lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan
Elakkan peralatan berada dalam mod sedia
Tetapkan suhu penyaman udara (24-26 darjah Celsius)
Gunakan peralatan elektrik berpenarafan 4 atau 5 bintang
Bagi penggunaan air, beberapa langkah penjimatan dicadangkan:
Baiki kebocoran paip dalaman dengan segera
Gunakan sumber air alternatif seperti tadahan air hujan
Gunakan air pada kadar sewajarnya
Basuh pakaian hanya apabila muatan penuh
Tutup pili dengan rapat selepas guna
Guna semula air tidak tercemar untuk siram pokok atau cuci lantai
Pilih produk berlabel Cekap Air dua atau tiga bintang.
PETRA turut menekankan keselamatan elektrik semasa perayaan, termasuk:
Pastikan pendawaian elektrik selamat dan menguji Peranti Arus Baki (RCD) sekali sebulan
Elak guna wayar atau kelengkapan elektrik yang koyak atau terdedah
Jangan membebani soket dengan kelengkapan elektrik berlebihan atau berkuasa tinggi
Gunakan lampu hiasan berlabel keselamatan ST-SIRIM
Matikan suis kelengkapan yang tidak digunakan
Elak gantung perhiasan perayaan pada tiang elektrik
Jangan guna telefon bimbit semasa dicas.
Menurut Datuk Amar, usaha ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan kesejahteraan rakyat, kemampanan serta tadbir urus yang baik dalam pengurusan sumber tenaga dan air.
“Rakyat bukan sahaja dapat menyambut perayaan dengan lebih selamat dan tenang bersama keluarga, malah turut menyokong agenda negara dalam memastikan kelangsungan sumber tenaga dan air yang mampan, berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan pembangunan negara pada masa hadapan,” katanya.







