Aidilfitri di laut: Pengorbanan anggota Maritim jaga keselamatan perairan

23 Mac 2026, 4:00 AM
Aidilfitri di laut: Pengorbanan anggota Maritim jaga keselamatan perairan
Aidilfitri di laut: Pengorbanan anggota Maritim jaga keselamatan perairan

SHAH ALAM, 23 MAC: Pagi Aidilfitri lazimnya dimulakan dengan takbir dan bermaafan bersama keluarga, namun bagi sebahagian barisan hadapan, ia bermula dengan tugasan di tengah laut.

Itulah pengalaman yang dilalui Leftenan Muda (M) Muhammad Nur Affiq Nor Hisham, 31, apabila beberapa tahun menyambut Syawal di perairan negara demi memastikan keselamatan terus terpelihara.

Sebagai pegawai geledah KM Danga, beliau mengakui detik pagi raya pernah berlalu tanpa insan tersayang di sisi kerana memenuhi tanggungjawab sebagai anggota Maritim.

"Saya mula bertugas pada 2022 dan diamanahkan bekerja pada Syawal pertama. Saya sangat bersyukur kerana tahun ini akhirnya dapat pulang beraya bersama isteri dan anak di Johor," katanya.

Berkongsi pengalaman bertugas sebelum ini, beliau menyifatkan tugas menjaga perairan bersama 24 kru kapal selama lapan hari mulai hari pertama Syawal sesuatu yang berbeza dan bermakna.

"Pada musim perayaan, selalunya bot nelayan mencari hasil untuk menambah pendapatan selain dibanjiri bot pendatang asing tanpa izin (Pati) memasuki negara ini menggunakan jalan yang tidak diwartakan," katanya.

Sepanjang tempoh tersebut, operasi rondaan Maritim Selangor meliputi sempadan Sepang hingga Bagan Nakhoda Omar, mencerminkan pengorbanan berterusan barisan hadapan untuk memelihara perairan.

Sementara itu, bagi ketua skuadron bot Maritim Selangor, rutin kerja lebih mencabar apabila perlu meningkatkan rondaan untuk mengekang cubaan Pati pulang ke negara asal sempena Aidilfitri.

Lebih lapan tahun berkhidmat di pangkalan maritim Pelabuhan Klang, menurut Leftenan Madya (M) Mohd Atraf Abdul Patah, antara empat ke lima set bot perlu digunakan untuk memantau perairan.

Jelasnya, pelbagai ancaman dan cabaran dihadapi anggota antaranya cubaan penyeludupan dadah dan barangan terlarang oleh sekumpulan warga asing yang ditumpangkan bersama bot.

“Kebiasaannya, Pati tidak pulang dengan tangan kosong, sebaliknya membawa barangan terlarang adalah sumber keuntungan mereka. Sebagai ketua bot, saya menganggap tugas ini sebagai amanah yang perlu dilaksanakan mengikut undang-undang tanpa mengambil mudah aspek keselamatan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619