Petugas pengukuran sempadan hilang dihanyut arus sungai

19 Mac 2026, 1:19 AM
Petugas pengukuran sempadan hilang dihanyut arus sungai

LAWAS, 19 MAC: Seorang anggota Pasukan Ukur Malaysia dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi sungai di kawasan Ulu Temburong pada Rabu malam.

Ketika kejadian, Donysius Gabriel Goh, 36, melakukan operasi pengukuran sempadan antarabangsa Malaysia-Brunei bersama dengan lima lagi rakannya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.19 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas dikerah ke lokasi.

Kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira 8.30 malam 17 Mac lepas apabila hujan lebat menyebabkan arus sungai menjadi deras ketika kumpulan itu cuba menyeberangi sungai untuk ke lokasi perkhemahan.

“Seorang daripada mereka telah dihanyutkan arus deras dan hilang daripada pandangan manakala lima lagi terselamat... usaha pencarian awal telah dijalankan oleh rakan mangsa pada malam kejadian namun tidak berhasil,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan pencarian diteruskan keesokan pagi dalam radius kira-kira 700 meter dari lokasi lelaki tersebut dilaporkan hanyut namun mangsa belum ditemukan.

Menurut JBPM Sarawak, kelima-lima anggota yang terselamat kembali ke kem markas mereka pada 11.30 pagi semalam sebelum melaporkan insiden itu dan mendapatkan bantuan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat dijangka dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi lain. Kawasan kejadian dilaporkan berlaku di hutan tebal berhampiran sungai dengan laluan mencabar serta tiada liputan komunikasi sekali gus menyukarkan usaha pencarian.

“Mangsa kali terakhir dilihat memakai baju lengan panjang hitam, seluar panjang hitam, stoking kuning dan kasut getah,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619