Setiap kali menjelang Aidilfitri, orang ramai mula sibuk mencari busana menarik untuk digayakan pada pagi raya.
Dalam suasana hidup yang kian mencabar, ramai yang mencongak perbelanjaan dengan berhati-hati, sesuai dengan poket sendiri tanpa perlu mengikat perut khususnya selepas lebaran.
Bagi wanita, baju kurung antara pilihan untuk tampak anggun pada pagi Syawal. Namun, harga sepasang kurung naik sejak kebelakangan ini termasuk jenama popular.
Menyedari hal itu, ibu muda dari Shah Alam, Puteri Abatul Saiera Mior Riza, 28, meneroka perniagaan baharu, menjual baju kurung ‘preloved’ (terpakai).
Tampil konsep berbeza, jualan secara 'bundle' mengubah tanggapan terhadap perniagaan pakaian terpakai yang sinonim dengan t-shirt, seluar, blaus dan gaun.

Puteri Abatul Saiera turut menjual busana berjenama seperti Mimpikita, Calaqisya, Qiszar, Tom Abang Saufi, Whimsigirl, Leeyanarahman, Naelofar dan banyak lagi pada harga murah.
“Selalunya, orang pakai baju kurung sekali dua sahaja terutama baju raya. Sayang kalau simpan lama-lama. Jadi saya nampak peluang di situ. Orang hendak pakai jenama cantik pada harga lebih mampu milik,” katanya kepada Media Selangor.
Setiap helaian dipastikan dalam keadaan baik, bersih dan digosok sebelum dipamer. Harga jualan sekitar 50 peratus lebih murah berbanding harga asal. Dengan RM200, pelanggan berpeluang memperoleh empat atau lima pasang.
Sebenarnya, Puteri Abatul Saiera mula menjual pakaian terpakai sejak berusia belasan tahun. Pada November tahun lalu, beliau mengorak membuka kedai di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.
“Asalnya saya suka jual baju kurung sendiri. Saya suka baju cantik-cantik, dan suka membeli. Disebabkan baju sendiri sudah banyak. Saya jual. Tak sangka orang suka.
“Lama kelamaan, saya mula buat perkhidmatan beli baju kurung orang lain pula, dan jadikan ia stok. Disebabkan baju mula banyak, saya buka langkah dengan berniaga di kedai,” katanya yang sememangnya berpengalaman sebagai jurujual.
Jana wang
Pelanggan juga boleh menjana duit dengan menjual semula baju lama mereka. Mereka hanya perlu membuat janji temu melalui media sosial sebelum menghantar barangan untuk disaring.
“Kita tak ambil secara walk-in (datang terus). Semua kena tempah slot supaya proses teratur. Kita akan pilih pakaian yang bersih, tak rosak dan sesuai konsep kedai,” katanya.
Cabaran utama perniagaan antaranya menyediakan bekalan pakaian berkualiti dan berjenama kerana tidak semua orang sanggup melepaskan koleksi mereka pada harga rendah.

Meski ada yang dihantar dalam keadaan kurang memuaskan, baju yang dijual serendah RM2 hingga ratusan ringgit di situ mendapat sambutan baik.
Sebelum kedatangan Ramadan lagi, kedai yang diusahakan bersama suami Muhamad Nasrullah Nordin, 35, antara lokasi tumpuan penggemar baju kurung untuk mendapatkan busana kegemaran masing-masing.
Bagi Puteri Abatul Saiera, kedainya bukan sekadar tempat menjual beli tetapi ruang memberi nilai baharu kepada pakaian lama. Lebih 2,000 pakaian tersedia untuk tampil anggun pada pagi Aidilfitri.
“Tak semua orang mampu beli baju baharu setiap tahun sedangkan mereka boleh bergaya dengan jenama yang cantik tanpa rasa terbeban," katanya.








