SHAH ALAM, 16 MAC: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun mengalami kecederaan serius apabila beberapa jarinya putus akibat letupan mercun semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari di Kampung Tempoyak, dekat Merbok, Sungai Petani, Kedah, mangsa dipercayai bermain bersama dua lagi kanak-kanak masing-masing berusia sembilan dan dua tahun sebelum berlaku letupan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Tanjung Dawai pada jam 2.15 petang.
“Maklumat awal kejadian disedari jiran selepas mendengar letupan mercun disusuli tangisan kanak-kanak itu.
“Mangsa kemudian dibawa ahli keluarga ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan," katanya seperti dilapor BH.
Beliau berkata, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada beberapa jari serta tapak tangan kiri akibat letupan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jenis mercun digunakan masih disiasat.








