KBS peruntuk RM1 juta bantu bekas atlet naungan YAKEB

16 Mac 2026, 6:24 AM
KBS peruntuk RM1 juta bantu bekas atlet naungan YAKEB

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan peruntukan RM1 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bagi menyantuni bekas atlet yang bernaung di bawah yayasan berkenaan sepanjang tahun ini.

Menterinya Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pihaknya telah meneliti segala keperluan melibatkan yayasan itu dan penyaluran peruntukan tersebut adalah untuk memastikan kebajikan bekas atlet negara terus terpelihara.

Beliau berkata KBS akan terus memantau keperluan lain dan menambah peruntukan yayasan itu sekiranya perlu supaya program menyantuni semua bekas atlet yang memerlukan berjalan lancar.

“Kita sentiasa berbincang dan meneliti segala keperluan untuk kita memberikan sumbangan dan juga menjaga kebajikan atlet. Sebab itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk YAKEB.

“Saya nak mengajak dan menyeru lebih ramai lagi ahli korporat, swasta dan sebagainya untuk bersama-sama membantu usaha ini. KBS sentiasa meneliti jika ada keperluan untuk penambahan dan sebagainya kita akan sentiasa berbincang dengan pihak YAKEB untuk memastikan kelancaran yayasan ini,” katanya selepas majlis Projek Ramadan 2026: Menghargai Bekas Atlet, Menyemai Kasih di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi YAKEB Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata setakat ini jumlah yang diperuntukkan mampu menampung perbelanjaan yang diperlukan yayaysan berkenaan.

“Alhamdulillah, kita telah mendapat peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM1 juta bagi menguruskan pemberian bantuan-bantuan dan juga insentif yang telah tersedia ada dalam skim YAKEB.

“Kita akan melakukan kerjasama dengan beberapa pihak swasta untuk menampung beberapa perbelanjaan lain sekiranya perlu,” katanya.

Projek Ramadan 2026: Menghargai Bekas Atlet, Menyemai Kasih di Dewan Kompleks Rakan Muda, Kompleks Sukan Bukit Kiara, menyaksikan YAKEB menyalurkan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas kepada 50 bekas atlet.

“Lebih kurang 50 orang menerima duit raya, bakul makanan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tak lama lagi. Ini salah satu usaha kita bersama, usaha kecil, yang mana hari ini kita memberikan penghargaan kepada semua atlet legenda kita,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619