SHAH ALAM, 16 MAC: Seramai 750 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang menerima baucar Jom Shopping Aidilfitri bernilai RM200 bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Syawal.
Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata program itu membabitkan peruntukan RM150,000 untuk diagihkan kepada penerima yang layak di kawasan berkenaan.
“Sebelum tahun 2013, bantuan perayaan Kerajaan Negeri disalurkan dalam bentuk bakul makanan.
“Pendekatan itu kemudian ditukar kepada baucar bernilai RM100 bagi memberi peluang kepada penerima memilih sendiri barangan keperluan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, pendekatan tersebut juga bertujuan memastikan ketelusan serta integriti dalam pelaksanaan bantuan kepada rakyat.
“Saya berbangga kerana sehingga hari ini program ini terus diperkasakan sebagai ‘Jom Shopping Perayaan’, malah nilai baucar telah ditingkatkan kepada RM200.
“Semoga segala inisiatif kerajaan negeri akan terus mendahulukan kebajikan rakyat agar setiap keluarga dapat menyambut perayaan dengan lebih bermakna,” katanya.








