Tentera laut AS dijangka iring kapal tangki di Selat Hormuz - Trump

14 Mac 2026, 2:51 AM
Tentera laut AS dijangka iring kapal tangki di Selat Hormuz - Trump

ISTANBUL, 14 MAC: Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dijangka mengiringi kapal tangki minyak yang melalui Selat Hormuz “tidak lama lagi”, kata Presiden Donald Trump pada Jumaat ketika ketegangan di rantau itu kekal tinggi susulan konflik AS-Israel dengan Iran, lapor Anadolu Ajansi.

“Ia akan berlaku tidak lama lagi,” kata Trump kepada pemberita apabila ditanya mengenai kemungkinan pengiringan tentera laut melalui laluan air penting itu, yang merupakan laluan utama untuk penghantaran minyak global.

Iran secara berkesan telah menutup Selat Hormuz sejak sekitar 1 Mac susulan peningkatan permusuhan dengan AS dan Israel. Gangguan terhadap perkapalan melalui selat itu telah mendorong kenaikan harga minyak dan baja global serta mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan tenaga.

Trump berkata beliau menjangkakan “penurunan besar dalam harga petrol dan gas.”

Mengulas mengenai matlamat Washington dan Tel Aviv dalam konflik itu, Trump memberi bayangan bahawa kedua-dua sekutu itu mungkin tidak berkongsi objektif yang sama. “Saya fikir ia mungkin sedikit berbeza,” katanya, sambil menyatakan bahawa Israel "berbeza daripada kami,” dan menambah bahawa kuasa AS kekal tiada tandingan.

Ketegangan di Asia Barat meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb lepas. Serangan itu setakat ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,300 orang di Iran, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ali Khamenei.

Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta beberapa negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan korban dan kerosakan terhadap infrastruktur serta menjejaskan pasaran global dan sektor penerbangan.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social miliknya, Trump berkata tentera AS telah mengebom “setiap sasaran ketenteraan” di Pulau Kharg, hab minyak strategik Iran. Beliau memberi amaran bahawa AS juga boleh menyerang infrastruktur minyak di pulau itu jika Iran terus menghalang kapal daripada melalui Selat Hormuz.

Terletak di bahagian utara Teluk, Pulau Kharg menjadi tulang belakang sistem eksport minyak Iran serta sumber utama hasil kerajaan. Kira-kira 90 hingga 95 peratus eksport minyak mentah Iran, iaitu sekitar 1.7 juta tong sehari tahun lepas, melalui pulau itu sebelum dihantar ke pasaran antarabangsa.

-- BERNAMA-ANADOLU

TAG: Donald Trump, Iran, Selat Hormuz, pengiring, kapal tangki minyak

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619