SHAH ALAM, 13 MAC: Mahkamah Majistret Selayang memutuskan Yayasan Kubra tidak boleh meneruskan kerja merobohkan sebuah kuil Hindu di Rawang buat sementara waktu sehingga keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi.
Majistret Chai Guan Hock berkata mahkamah mendapati wujud pertikaian berhubung status pemilikan tanah yang menjadi lokasi rumah ibadat tersebut.
Beliau berkata, kuil berkenaan telah berada di tapak itu sejak 1995, manakala pemilik tanah semasa hanya memperoleh tanah tersebut pada 2021.
“Mahkamah turut mengambil kira isu di tapak itu boleh menimbulkan ketegangan awam jika keadaan tidak dikawal dengan baik,” katanya seperti dilapor FMT.
Guan Hock berkata pihak pengurusan kuil dan Yayasan Kubra perlu mengemukakan kenyataan bertulis serta dokumen sokongan bagi membolehkan mahkamah menentukan status sebenar pemilikan tanah tersebut.
“Mahkamah akan meneliti dokumen daripada kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan,” katanya.
Beliau turut menetapkan 5 Jun depan sebagai tarikh inkuiri berhubung perkara itu.
Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal yang mewakili pengurusan Kuil Sri Uchimalai Muniswaran berkata keputusan majistret itu bermakna status quo di tapak berkenaan perlu dikekalkan buat masa ini.
Rajesh berkata jawatankuasa kuil tidak mempertikaikan bahawa tanah tersebut dimiliki Yayasan Kubra, namun membantah cara sebahagian kuil itu dirobohkan yang didakwa dilakukan secara tidak sah.
Menurutnya, sebarang tindakan memindahkan atau mengusir rumah ibadat perlu mendapatkan perintah mahkamah yang sah terlebih dahulu.
“Tidak boleh datang pada tengah malam dengan jentera dan merobohkan rumah ibadat. Itu tidak boleh diterima,” katanya.
Beliau turut memaklumkan polis pernah ditempatkan di lokasi kejadian bulan lalu bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini, sekali gus menunjukkan risiko ketegangan boleh meningkat.
Pada 27 Februari lalu, jawatankuasa kuil memfailkan saman di Mahkamah Majistret Shah Alam bagi menghalang sebarang tindakan yang boleh mencetuskan gangguan ketenteraman sementara menunggu perintah pengusiran daripada Mahkamah Tinggi.








