MTUC syor kerajaan beri insentif Aidilfitri untuk pekerja swasta

11 Mac 2026, 7:56 AM
MTUC syor kerajaan beri insentif Aidilfitri untuk pekerja swasta

SHAH ALAM, 11 MAC: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengesyorkan kerajaan memberi insentif kepada pekerja swasta sempena Aidilfitri.

Setiausaha Agungnya Kamarul Baharin Mansor berkata sumbangan pekerja swasta perlu dihargai kerana mereka adalah tulang belakang ekonomi negara yang menyumbang kepada peningkatan cukai dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

"Pembangunan negara juga adalah hasil titik peluh pekerja swasta. MTUC mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mengumumkan berita baik kepada mereka yang tidak mendapat Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

"Golongan ini amat terkesan dengan persiapan hari raya dan mengharapkan Perdana Menteri dapat memberikan berita gembira kepada mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan tujuh langkah intervensi segera Kerajaan Madani bagi meringankan beban rakyat menjelang Syawal.

Antara langkah diumumkan ialah pengkreditan awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2, penyaluran Bantuan Khas Kewangan 2026 membabitkan penjawat awam, pesara dan veteran, peluasan siri Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara serta peluasan inisiatif subsidi tiket penerbangan FlySiswa.

Sebelum ini, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, dilaporkan berkata Anwar dijangka mengumumkan beberapa lagi berita baik untuk rakyat menjelang sambutan Aidilfitri.

Dalam pada itu, Kamarul Baharin menegaskan kerajaan perlu bertindak sedikit keras terhadap pengurusan syarikat yang tidak mahu berkongsi keuntungan dengan pekerja bawahan.

Katanya, sebelum ini Anwar menasihatkan syarikat yang mencatat keuntungan untuk memberikan layanan adil kepada pekerja dengan berkongsi keuntungan.

"Sepatutnya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) boleh mengikut langkah kerajaan dengan memberikan bantuan hari raya.

"Syarikat seperti Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Group Holdings, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan syarikat lain yang mencatat keuntungan perlu diarahkan oleh kerajaan untuk berkongsi keuntungan (kepada pekerja)," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana mengumumkan beberapa inisiatif sebelum ini untuk membantu rakyat.

Katanya, usaha berterusan itu sangat dihargai bagi memastikan rakyat terus terbela kerana sudah pasti semua berada dalam keadaan tertekan dengan kos kehidupan yang meningkat.

"Justeru, MTUC mengharapkan berita baik dalam pengumuman Perdana Menteri menjelang hari raya meliputi semua pekerja sektor awam dan swasta.

"Keprihatinan Perdana Menteri amat dihargai bagi memberikan senyuman menjelang hari raya nanti. MTUC akan menunggu khabar gembira dengan penuh harapan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619