Bergejala penyakit berjangkit? JKN Selangor minta tangguh rumah terbuka

20 Mac 2026, 1:00 PM
Bergejala penyakit berjangkit? JKN Selangor minta tangguh rumah terbuka

SHAH ALAM, 20 MAC: Individu yang mempunyai gejala penyakit berjangkit disaran menangguhkan kehadiran ke majlis keraian atau rumah terbuka bagi mengelakkan penularan penyakit ketika musim perayaan.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan risiko jangkitan biasanya meningkat ketika musim perayaan susulan pertemuan rapat dalam kalangan ahli keluarga serta aktiviti ziarah yang lebih kerap.

“Mereka juga dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan di klinik kesihatan dengan segera.

“Amalan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin serta mengelak berada terlalu lama di tempat sesak dan tertutup juga dapat membantu mengurangkan risiko penularan penyakit,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, antara penyakit yang sering dilaporkan meningkat ketika musim perayaan dan cuti sekolah ialah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak serta jangkitan saluran pernafasan seperti influenza.

Selain itu, penyakit berjangkit lain termasuk cacar air (chickenpox) juga mudah merebak apabila berlaku interaksi rapat antara ahli keluarga atau ketika aktiviti ziarah-menziarahi.

“Sempena Hari Raya yang bakal menjelang, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan langkah penjagaan kesihatan serta menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

“Ini bagi memastikan supaya musim perayaan dapat dinikmati dengan selamat dan sihat bersama insan tersayang,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sebanyak 85 peratus daripada kes tuberkulosis (tibi) yang dilaporkan di negara ini melibatkan rakyat tempatan manakala hanya 15 peratus membabitkan warga asing.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin, pula menasihatkan golongan berisiko seperti perokok, penghidap diabetes dan buah pinggang kronik perlu lebih peka dengan ancaman penyakit tibi.

Dr Ummi Kalthom turut menggesa orang ramai supaya mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul terutama di lokasi tumpuan awam.

Menurutnya, ini bukan sahaja berteraskan prinsip penilaian risiko kendiri, malah merupakan tanggungjawab sosial yang amat penting bagi melindungi diri, keluarga serta komuniti daripada risiko jangkitan penyakit berjangkit.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619