Kedutaan Malaysia bantu rakyat terkandas di Qatar ke Jeddah

10 Mac 2026, 7:38 AM
Kedutaan Malaysia bantu rakyat terkandas di Qatar ke Jeddah

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar membantu pergerakan rakyat Malaysia yang terkandas di Qatar ke Jeddah dengan menaiki bas sebagai sebahagian daripada pengaturan evakuasi semalam.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, kedutaan itu memaklumkan bahawa sebelum berlepas, Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali telah menyampaikan ucapan kepada kumpulan berkenaan dan menzahirkan penghargaan atas kerjasama serta sokongan mereka yang membantu memastikan proses evakuasi berjalan lancar.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia kini berada pada fasa akhir persiapan untuk melaksanakan proses evakuasi rakyat Malaysia dari beberapa negara yang terjejas akibat konflik di Asia Barat, susulan perkembangan keselamatan yang semakin meruncing di rantau itu.

Operasi evakuasi itu diarahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan supaya semua langkah perlu digerakkan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terjejas, menurut MKN dalam satu kenyataan.

Ia berkata operasi berkenaan akan diselaras dengan kerjasama rapat Kementerian Luar melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di negara berkaitan.

Menurut rekod Kementerian Luar, setakat 8 Mac, seramai 641 rakyat Malaysia masih terkandas di beberapa negara terjejas di rantau itu, manakala 24,568 rakyat Malaysia telah bendaftar melalui sistem e-Konsular setakat 7 Mac.

Amerika Syarikat (AS) dan Israel terus melancarkan serangan berskala besar terhadap Iran sejak 28 Februari, yang mengorbankan lebih 1,200 orang termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei dan pegawai tinggi tentera, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Iran melancarkan serangan balas menggunakan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara Teluk yang menempatkan aset Amerika Syarikat (AS).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619