Sampul duit raya mula dicabar QR, generasi muda pilih cara digital

22 Mac 2026, 8:00 AM
Sampul duit raya mula dicabar QR, generasi muda pilih cara digital

SHAH ALAM, 22 MAC: Tradisi sampul duit raya kini mula dicabar teknologi apabila kaedah pemberian melalui kod QR semakin menjadi pilihan, khususnya dalam kalangan generasi muda yang mahukan cara lebih mudah, pantas dan tanpa tunai.

Walaupun pembayaran digital semakin meluas, ramai masih melihat sampul duit raya sebagai simbol kemeriahan Aidilfitri yang membawa unsur kejutan dan nostalgia kepada penerima.

Pembantu tadbir, Izreen Mohd Abas, 42, berkata pemberian duit raya dalam sampul mempunyai keistimewaan tersendiri kerana penerima tidak mengetahui jumlah yang diterima sehingga membuka sampul.

Izreen Mohd Abas, 42, bercakap kepada Media Selangor ketika tinjauan perkembangan cara pemberian duit raya secara digital atau sampul raya di Aneka Walk, Shah Alam pada 4 Mac 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Bila ada sampul, rasa lebih ‘surprise’ sebab tak tahu dalamnya ada berapa. Pemberi pun tak rasa segan sangat memberi.

“Bagi yang berkemampuan, berilah duit raya sama ada melalui QR atau sampul. Duit raya ini sekadar manisan untuk kanak-kanak,” katanya.

Eksekutif Pengurusan Pelanggan, Shaheen Nafisa Mohd Dzahir, 24, turut memilih untuk mengekalkan tradisi memberi duit raya dalam sampul seperti yang diamalkan keluarganya sejak dahulu.

Shaheen Nafisa mohd Dzahir, 24, bercakap kepada Media Selangor ketika tinjauan perkembangan cara pemberian duit raya secara digital atau sampul raya di Aneka Walk, Shah Alam pada 4 Mac 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, pemberian dalam sampul bukan sekadar wang, sebaliknya simbol tradisi keluarga yang terus diwarisi setiap kali Aidilfitri.

“Saya masih beri dalam sampul seperti tahun-tahun sebelumnya kerana masih ada ahli keluarga yang muda.

“Sejak kecil sampai sekarang, walaupun masa di universiti pun masih dapat dalam sampul. Ia tradisi keluarga di kampung dan saya mahu ia terus dikekalkan,” katanya.

Namun bagi sesetengah individu, kaedah digital dilihat lebih praktikal, terutama apabila sukar mendapatkan wang kertas kecil di bank menjelang hari raya.

Amirul Hafiz Abd Rahman, 31, bercakap kepada Media Selangor ketika tinjauan perkembangan cara pemberian duit raya secara digital atau sampul raya di Aneka Walk, Shah Alam pada 4 Mac 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Peniaga, Amirul Hafiz Abd Rahman, 31, berkata beliau memilih menggunakan QR tahun ini bagi memudahkan urusan pemberian duit raya.

“Sebelum ini saya guna sampul, tetapi tahun ini guna QR sebab perlu tukar duit di bank dan kadang-kadang duit kecil habis.

“Sekarang orang sudah biasa dengan teknologi, jadi lebih mudah bagi melalui QR,” katanya.

Pegawai sumber manusia, Nur Anisa Mohd Dunia, 32, pula berkata kaedah digital bukan sahaja memudahkan pemberian, malah membantu ibu bapa memantau jumlah duit raya yang diterima anak-anak.

Nur Anisa Mohd Dunia, 32, bercakap kepada Media Selangor ketika tinjauan perkembangan cara pemberian duit raya secara digital atau sampul raya di Aneka Walk, Shah Alam pada 4 Mac 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Kalau bagi tunai kena tukar duit dan kadang susah dapat duit baru. Dengan QR lebih mudah.

“Ibu bapa juga boleh tahu berapa anak-anak dapat dan lebih senang untuk simpan kerana tidak perlu pergi ke bank,” katanya.

Perubahan gaya hidup serta perkembangan teknologi menjadikan tradisi duit raya kini berada di persimpangan antara nostalgia sampul yang masih dipertahankan dan kemudahan digital yang semakin diterima.

Eksekutif Pengaktifan Pembeli, Nadiah Nohhani, 43, berkata beliau memilih menggunakan kod QR untuk memberikan duit raya kepada anak saudaranya yang mempunyai e-dompet kerana lebih mudah dan praktikal.

Eksekutif Pengaktifan Pembeli, Nadiah Nohhani, 43, bercakap kepada Media Selangor ketika tinjauan perkembangan cara pemberian duit raya secara digital atau sampul raya di Aneka Walk, Shah Alam pada 4 Mac 2026. Foto NADHIRAH FATTAH/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, kaedah itu juga selari dengan gaya hidup generasi muda masa kini yang semakin cenderung menggunakan transaksi tanpa tunai dalam kehidupan seharian.

“Sekarang kebanyakan anak saudara saya sudah mempunyai e-dompet, jadi lebih mudah beri duit raya. Generasi sekarang juga lebih biasa dengan pembayaran digital,” katanya.

Perubahan gaya hidup serta perkembangan teknologi menjadikan tradisi pemberian duit raya kini berada di persimpangan antara nostalgia sampul yang masih dipertahankan dan kemudahan kaedah digital yang semakin diterima.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619