NASIONAL

Polis bongkar salah guna dadah di pusat hiburan

10 Mac 2019, 5:22 AM
Polis bongkar salah guna dadah di pusat hiburan

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Polis membongkar kegiatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengunjung sebuah pusat hiburan, di Kompleks Sun, Bukit Bintang, di sini dengan menahan 37 individu, dua daripadanya warga Singapura, awal hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mereka ditahan dalam serbuan dijalankan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) kira-kira 2.45 pagi.

Beliau berkata, dalam operasi itu, 81 individu berumur lingkungan 20 hingga 40-an diperiksa dan daripada jumlah itu, 37 daripadanya terdiri daripada 28 lelaki serta sembilan wanita didapati positif dadah.

"Polis menggunakan khidmat Unit Pengesan Anjing (K9) bagi menghidu bau dadah selepas beberapa botol minuman berisi dadah dirampas di pusat hiburan berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di pusat hiburan berkenaan.

Mazlan berkata, hasil siasatan mendapati pemilik pusat hiburan itu menggajikan pelayan pelanggan (GRO) warga asing untuk melariskan perniagaan mereka.

Beliau berkata, polis juga menahan 15 GRO terdiri daripada 10 warga China dan lima warga Vietnam.

“Air minuman berisi dadah itu ditemui di dalam sebuah bilik yang didiami empat lelaki termasuk dua warga Singapura bersama empat GRO warga China,” katanya.

Katanya kesemua yang ditahan dibawa ke IPKKL untuk tindakan lanjut. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619