Kes tembak di Kapar: Pembonceng motosikal maut, miliki 23 rekod jenayah

5 Mac 2026, 11:06 AM
Kes tembak di Kapar: Pembonceng motosikal maut, miliki 23 rekod jenayah

SHAH ALAM, 5 MAC: Seorang daripada dua suspek bermotosikal yang terbabit kes tembak di Jalan Keretapi Lama, dekat Tok Muda di Kapar pagi tadi disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata suspek yang meninggal dunia itu disahkan sebagai pembonceng motosikal, manakala rakannya yang menunggang kenderaan itu ketika kejadian jam 9.51 pagi mengalami kecederaan.

Suspek yang maut mempunyai 23 rekod lampau membabitkan pelbagai jenayah berat termasuk kes bunuh, cubaan bunuh dan samun berkumpulan meninggal di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati, kejadian bermula apabila dua suspek yang menggunakan motosikal jenis Yamaha Y15 dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang pekerja di Kampung Perepat.

"Seorang pemandu kenderaan yang juga majikan kepada lelaki yang disasarkan dua suspek itu, yang kebetulan menyaksikan kejadian terbabit mengejar motosikal berkenaan sehingga ke Jalan Keretapi Lama

"Apabila salah seorang suspek mengacukan objek menyerupai pistol, pemandu kenderaan terbabit melanggarnya sehingga mengakibatkan kedua-duanya terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Sri Kapar," katanya melalui kenyataan petang ini.

Shazeli berkata, selain suspek yang meninggal dunia, rakannya turut mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan berstatus orang dikehendaki mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis turut menahan lelaki berusia 49 tahun yang melanggar dua suspek dalam kejadian itu yang turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan 307 Kanun Keseksaan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619