Miliki 4,136 alat ganti motosikal tiruan, syarikat didenda lebih RM150,000

3 Mac 2026, 6:19 AM
Miliki 4,136 alat ganti motosikal tiruan, syarikat didenda lebih RM150,000

SHAH ALAM, 3 MAC: Sebuah syarikat menjual alat ganti motosikal didenda melebihi RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang selepas mengaku bersalah memiliki ribuan barangan menggunakan cap dagangan berdaftar secara tidak sah.

Hakim Norshila Kamarudin menjatuhkan hukuman itu selepas syarikat terbabit membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di mahkamah semalam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Khatijah Abdul Rajah.

Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan didapati memiliki 4,136 set alat ganti motosikal bagi tujuan perdagangan atau pengilangan dengan menggunakan cap dagangan berdaftar daripada jenama terkenal yang dipakaikan secara salah atau tanpa kebenaran pemilik sah.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Taman Bukit Permai, Ampang pada 8 Ogos 2024 kira-kira jam 2 petang.

Mahkamah turut memerintahkan levi sekiranya denda gagal dijelaskan.

Bagaimanapun, syarikat terbabit melunaskan sepenuhnya bayaran denda pada hari sama pengakuan bersalah direkodkan.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 atas kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(i) akta sama.

Jika sabit kesalahan, pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan cap dagangan berdaftar secara salah, dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda sehingga RM30,000 bagi setiap barangan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata pihaknya akan terus mempergiat penguatkuasaan menerusi Kempen KITA GEMPUR bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi kepentingan pengguna dan pemilik harta intelek.

"Peniaga diberi amaran agar tidak menjual barangan alat ganti kenderaan menggunakan cap dagangan atau jenama popular secara tidak sah atau tiruan.

"Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mencuri hak harta intelek pemilik cap dagangan sah yang berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia, malah merisikokan kualiti keselamatan selenggara kenderaan pengguna," katanya dalam kenyataan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku urus niaga boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, aplikasi Ez Adu KPDN, talian hotline 1-800-886-800 atau portal e-aduan.kpdn.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619