Bazar Ramadan angkat juadah tradisi, jadi pilihan ramai

3 Mac 2026, 9:22 AM
Bazar Ramadan angkat juadah tradisi, jadi pilihan ramai
Bazar Ramadan angkat juadah tradisi, jadi pilihan ramai
Bazar Ramadan angkat juadah tradisi, jadi pilihan ramai
Bazar Ramadan angkat juadah tradisi, jadi pilihan ramai
Bazar Ramadan angkat juadah tradisi, jadi pilihan ramai

SHAH ALAM, 3 MAC: Di sebalik kemeriahan bazar Ramadan yang dipenuhi pelbagai juadah moden dan tular, masih ada peniaga yang setia mempertahankan makanan warisan demi memastikan resipi turun-temurun terus dikenali generasi muda.

Bazar Ramadan di Stadium Shah Alam bukan sekadar lokasi membeli juadah berbuka puasa, malah menjadi ruang memperkenalkan makanan tradisi yang semakin jarang ditemui khususnya di kawasan bandar.

Bagi Radziah Ramlan, 60, tanggungjawab mempertahankan jualan nasi ambeng merupakan amanah keluarga yang perlu diteruskan.

Beliau yang sudah hampir 45 tahun berkecimpung dalam perniagaan itu adalah generasi ketiga menjual juadah berkenaan.

Peniaga nasi ambeng Radziah Ramlan, 60, ditemui di Bazar Ramadan Seksyen 13 Shah Alam pada 2 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Bazar ini merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan kewujudan nasi ambeng tradisi,” katanya kepada Media Selangor semalam.

Menurut Radziah, masih terdapat pelanggan yang mahukan tempahan nasi ambeng yang mengekalkan konsep hidangan di atas dulang.

Beliau turut menegaskan banyak lagi makanan warisan negeri Selangor perlu diangkat seperti wadai kepeng dan pecal.

Tambahnya, beliau pernah mewakili Selangor melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) mempromosikan makanan tradisional.

Sementara itu, peniaga generasi muda, Alya Mysarah Mohd Nizam, 20, mengambil tanggungjawab meneruskan legasi kuih akok.

Peniaga akok Alya Mysarah Mohd Nizam, 20, menunjukkan kuih akok ketika tinjauan di Bazar Ramadan Seksyen 13 Shah Alam pada 2 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Saya rasa ini satu tanggungjawab besar untuk memperkenalkan kepada generasi akan datang supaya resepi turun-temurun tidak hilang,” katanya.

Selain membantu abangnya menjual kuih akok, beliau turut memberi penerangan ringkas kepada pembeli mengenai kuih tradisional Kelantan itu agar lebih dikenali.

“Saya juga tidak menyangka bahawa masih ramai mahukan kuih akok walaupun di tengah pusat bandar Shah Alam dan menganggap akok ini makanan unik,” katanya lagi.

Seorang lagi peniaga kuih-muih, Yusfarina Abdullah, berkata beliau terdorong memulakan perniagaan selepas mendapati kuih tradisional sukar ditemui.

Peniaga kuih Yusfarina Abdullah ditemui di Bazar Ramadan Seksyen 13 Shah Alam pada 2 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Sambutan memberangsangkan dan saya sendiri sudah ada pelanggan tetap. Resipi moden makin naik, lama kelamaan resipi tradisional makin dilupakan,” katanya.

Bagi pengunjung, kehadiran makanan tradisi di bazar Ramadan memberi nilai nostalgia.

Nor Azrin Elina Azizan, 27, berkata beliau sering menghadapi kesukaran mendapatkan kuih tradisional di bandar.

“Bagusnya penjualan makanan tradisional ini dapat kembalikan memori nostalgia dahulu,” katanya.

Pengunjung Nor Azrin Elina Azizan 27, ditemui di Bazar Ramadaan Seksyen 13 Shah Alam pada 2 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Pengunjung lain, Mohd Azmir Zainal Abidin, 40, menyokong agar juadah tradisional terus diperkasakan supaya kekal relevan di arus moden.

“Contoh Khairul Aming sendiri mengangkat menu juadah tradisional seperti cucur udang dan cekodok sebagai pilihan tetap supaya orang ramai dapat rasa makanan warisan,” katanya.

Pengunjung Mohd Azmir Zainal Abidin, 40, ditemui di Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam pada 2 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Menurutnya, usaha mengangkat juadah tradisi bukan sahaja tanggungjawab peniaga lama, malah generasi muda perlu memainkan peranan memastikan warisan kulinari Melayu terus dipelihara.

Antara makanan warisan yang boleh ditemui di Bazar Ramadan Seksyen 13 Shah Alam pada 2 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Antara pilihan kuih di Bazar Ramadan Seksyen 13 Shah Alam pada 2 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619