Berhati-hati komen isu sensitif, elak gugat keharmonian

3 Mac 2026, 12:10 AM
Berhati-hati komen isu sensitif, elak gugat keharmonian

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati serta tidak memberikan komen melampau yang menyentuh isu sensitif berkaitan agama dan kaum dalam media sosial.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata rakyat Malaysia seharusnya bersikap matang dan tidak menggunakan platform media sosial untuk mencetuskan provokasi sehingga menjejaskan keharmonian negara.

"Masyarakat dinasihatkan merujuk kepada sumber sahih dan dokumen rasmi sebelum membuat sebarang kenyataan bagi mengelakkan salah faham.

"Kita mahu suasana aman dan tenteram ini diteruskan, terutamanya dalam kita menghampiri musim perayaan," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa PDRM bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini malam tadi.

Beliau mengulas mengenai kecaman dalam media sosial selepas tindakan seorang penuntut universiti awam memuat naik hantaran menghina dan mencemarkan al-Quran di platform Threads baru-baru ini.

Terdahulu, beliau mengesahkan pelajar berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Kuantan di Pahang hari ini.

Mohd Khalid berkata Peguam Negara (AG) memberikan keizinan untuk menuduh suspek selepas penelitian mendapati bukti mencukupi bagi memulakan prosiding undang-undang.

Beliau menjelaskan suspek yang kini berada dalam tahanan polis dilaporkan berada dalam keadaan baik sepanjang tempoh reman.

Pada 25 Februari lalu, seorang penuntut universiti ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam dalam media sosial, dengan 62 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes berkenaan.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Mohd Khalid turut menerima sumbangan berjumlah RM50,000 daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) sebagai bantuan kepada aktiviti kebajikan warga PDRM di Masjid Sallehin di PULAPOL sepanjang Ramadan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619