13 projek RTB dilaksana di Klang, lima siap bermula suku ketiga 2026

2 Mac 2026, 2:45 PM
13 projek RTB dilaksana di Klang, lima siap bermula suku ketiga 2026
13 projek RTB dilaksana di Klang, lima siap bermula suku ketiga 2026

KLANG, 2 MAC: Usaha menangani risiko banjir di Klang diperkukuh menerusi pelaksanaan 13 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang kini giat dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah itu.

Pegawai Daerah Klang, Amri Ismail berkata daripada jumlah berkenaan, lima projek utama dijangka siap secara berperingkat bermula suku ketiga tahun ini.

"Projek berkenaan melibatkan pembinaan rumah pam di Taman Melawis; kolam takungan banjir dan rumah pam di Taman Mutiara, Bukit Raja; serta kerja menaik taraf benteng pantai di Kampung Sungai Serdang dan Kampung Tok Muda, Kapar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Berbuka Puasa (Ihya’ Ramadan) Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama rakyat dan penyampaian sumbangan Hari Raya di Masjid Nurul Iman, Telok Gadong, hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada golongan asnaf sempena Majlis Berbuka Puasa di Masjid Nurul Iman,Telok Gadong, Klang pada 2 Mac 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Dalam perkembangan berkaitan, Amri berkata sejumlah RM98 juta diperuntukkan tahun ini bagi kerja penyelenggaraan dan pembersihan di seluruh daerah Klang bagi memastikan tahap kebersihan terus terpelihara.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengekalkan mutu kebersihan pada tahap terbaik, khususnya dalam pengurusan sisa pepejal.

Antara langkah dilaksanakan termasuk pemantauan kawasan menerusi aplikasi sistem i-Pocket, penyelesaian aduan dalam tempoh 24 jam serta operasi statik terhadap sampah longgok.

“Menerusi peruntukan ini, pemantauan pengurusan sampah turut diperkasa melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), selain pemantauan berkala di tapak pelupusan menggunakan dron.

“Kita juga akan mewujudkan Jawatankuasa Khas Kebersihan Daerah Klang bagi mengambil tindakan segera demi memastikan Klang terus bersih dan terjaga,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619