Parlimen Malaysia bersolidariti dengan Iran, kutuk serangan Israel dan AS

2 Mac 2026, 7:00 AM
Parlimen Malaysia bersolidariti dengan Iran, kutuk serangan Israel dan AS

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Blok kerajaan dan pembangkang di Parlimen hari ini mengetepikan perbezaan politik untuk bersolidariti dengan rakyat dan negara Iran, sekali gus menjadi antara Parlimen terawal menyatakan pendirian tegas mengutuk keras serangan biadab rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kesepakatan luar biasa antara blok kerajaan dengan pembangkang itu sebagai manifestasi jelas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal maruah, kedaulatan, dan kemerdekaan sesebuah negara.

“Ia menyentuh perasaan saya apabila melihat kita boleh berbeza pendapat dalam banyak hal, tetapi dalam soal kedaulatan dan kemaslahatan bersama, tidak ada perbezaan. Ini petanda baik bagi negara kita.

“Kita sedar, apabila kita memberanikan diri menyatakan yang hak, pertahankan kebenaran dan keadilan, kita mungkin mengundang sedikit sebanyak masalah selain masalah ekonomi akibat perkembangan geopolitik dan juga peredaran dan pengangkutan minyak dan sebagainya. Tetapi, ini suara rakyat Malaysia dan apa-apa pun kita hadapi bersama,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika menggulung usul mengutuk serangan biadap dan ganas Israel dengan sokongan AS terhadap Iran di Dewan Rakyat, hari ini.

Menyentuh tentang isu forced regime change atau pertukaran rejim secara paksa yang menyasarkan ketua negara dan kemudahan awam, Anwar menyifatkannya perkara itu sebagai satu keganasan melampau yang mencabuli tatanan hukum dunia serta tidak boleh diterima oleh mana-mana tamadun manusia.

Beliau berkata tindakan tersebut ialah satu keangkuhan kuasa besar yang cuba menentukan kepimpinan sesebuah negara berdaulat melalui kekerasan.

Dalam ucapan penggulungannya juga, Anwar berkata kerajaan sentiasa bersiap-siaga dan berwaspada terhadap sebarang ancaman termasuk dari luar yang bertujuan mengganggu gugat pentadbiran dan kedaulatan negara.

Beliau berkata kerajaan tidak akan sesekali membenarkan campur tangan mana-mana negara luar atau syarikat asing dalam sebarang urusan.

“Sudah tentunya kita meneliti apabila dikaitkan dengan ancaman-ancaman terbaharu yang masih dalam siasatan, kita jangan menafikan kemungkinan ini berlaku atau terus berlaku dan saya hanya beri jaminan kita akan tentu waspada.

“Kewaspadaan itu perlu, kesiapsiagaan itu perlu. Menganggap bahawa semuanya teratur dan terselamat itu suatu kelemahan besar daripada pemikiran kita. Jadi, sebab itu soal kedaulatan negara, maruah rakyat bagi kita harus ada kesepakatan walaupun sama-sama tahu akan risikonya,” kata beliau.

Perdana Menteri menjawab pertanyaan dibangkitkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pada sesi perbahasan berhubung kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bahawa pihak polis sedang menyiasat dakwaan terdapat satu gerakan terancang untuk menjatuhkan dan mensabotaj kerajaan.

Anwar, pada masa sama, memberikan jaminan bahawa siasatan sangat rapi akan dijalankan berhubung dakwaan itu, kerana angka-angka dan data-data ke arah isu itu adalah sangat membimbangkan.

“Dalam negara kita pada peringkat awal merdeka memang ada ancaman komunis oleh Parti Komunis Malaya dan juga bantuan dari luar yang dibantah oleh rakyat, jadi jangan ada kemungkinan-kemungkinan begitu berlaku (lagi) dan mengancam keselamatan negara kita,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619