Konflik Timur Tengah: Malaysia perlu bersedia hadapi import lebih mahal - MIDA

2 Mac 2026, 4:31 AM
Konflik Timur Tengah: Malaysia perlu bersedia hadapi import lebih mahal - MIDA

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Malaysia perlu bersedia menghadapi impak seperti import yang lebih mahal susulan konflik di Timur Tengah, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Malaysia merupakan negara perdagangan dengan eksport dan import barangan bernilai tinggi yang dihantar melalui ruang udara rantau tersebut.

Katanya beberapa penerbangan Malaysia Airlines terpaksa berpatah balik kerana ruang udara di Timur Tengah ditutup ataupun dihadkan akibat ketegangan yang tercetus.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Foto BERNAMA

“Apabila laluan tidak selamat, penerbangan terpaksa dilencong ataupun dibatalkan. Ini bermaksud penerbangan ke Eropah jadi lebih jauh, (menyebabkan) kos bahan api meningkat dan kargo udara berisiko lewat.

“Apabila penghantaran lewat, kos naik dan harga (barang) pun naik,” katanya menerusi perkongsian di media sosial miliknya pada Ahad.

Ketegangan di Timur Tengah meningkat apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, sebelum Iran melaksanakan serangan balas misil ke wilayah Israel serta ke kemudahan tentera AS di Timur Tengah.

Menurut Tengku Zafrul, pasaran minyak juga bertindak pantas sebab Iran berada berhampiran laluan minyak yang paling kritikal di dunia.

“Apabila konflik meningkat, harga minyak pun melonjak kerana pasaran takut gangguan bekalan minyak.

“Justeru, (harga) minyak naik, logistik naik, harga (barang) pun naik,” katanya.

Beliau berkata apabila dunia tidak stabil, pelabur cenderung mencari tempat selamat seperti dolar AS dan emas, sekali gus memberi tekanan kepada ringgit melalui aliran keluar modal.

“Apabila ringgit tertekan, import (akan jadi) lebih mahal,” katanya.

Mengenai kesan konflik di Timur Tengah terhadap “poket” rakyat Malaysia, Tengku Zafrul berkata impaknya bergantung pada tempoh konflik tersebut.

“Kalau sekejap, impaknya terhad, kalau lama, kita kena bersedia,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619