Himpunan solidariti tolak perang Israel-AS ke atas Iran 9 malam ini

1 Mac 2026, 5:31 AM
Himpunan solidariti tolak perang Israel-AS ke atas Iran 9 malam ini

SHAH ALAM, 1 MAC: Aktiviti sosial dan politik, Hishamuddin Rais menggesa rakyat Malaysia turun berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) malam ini sebagai tanda solidariti bersama rakyat Iran dan bantahan terhadap perang Israel-AS.

Himpunan aman itu dijadual berlangsung pada jam 9 malam ini dan akan disusuli dengan sembahyang hajat demi keamanan dunia.

Menurut beliau, konflik yang tercetus di Asia Barat memerlukan respons rakyat yang menolak peperangan serta campur tangan kuasa besar.

“Turun, turun, turun. Perang telah pecah. Israel telah menyerang Iran. Amerika telah menyerang Iran. Perang telah pecah di Timur Tengah.

“Jam 9 malam kita akan berhimpun di hadapan Kedutaan AS. Kita tolak perang. Kita akan adakan sembahyang hajat demi keamanan dunia,” katanya menerusi satu perkongsian video di Instagram.

Beliau turut mengajak rakyat daripada pelbagai latar belakang untuk hadir menyatakan pendirian secara aman.

Himpunan itu disifatkan sebagai simbol solidariti terhadap rakyat Iran yang terkesan akibat konflik serta usaha menolak keterlibatan kuasa besar dalam peperangan di rantau tersebut.

Seruan tersebut juga selari dengan beberapa perhimpunan aman yang pernah dianjurkan di Malaysia sebelum ini sebagai bantahan terhadap tindakan ketenteraan Israel dan campur tangan Amerika Syarikat di Asia Barat.

Sebelum ini, aktivis dan kumpulan pro-perdamaian pernah berarak secara aman ke Kedutaan AS bagi menyampaikan memorandum serta menyuarakan bantahan terhadap serangan di Iran dan Palestin.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619