Identiti lima sekeluarga rentung dikenal pasti

26 Feb 2026, 5:04 AM
Identiti lima sekeluarga rentung dikenal pasti

RAUB, 26 FEB: Polis telah mengenal pasti identiti lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata mangsa yang terkorban ialah Mohd Awi Muhammad, 56, isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka, iaitu Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17, Ruby Adlina Banin Mohd Alawi, 14, dan Ruby Azyan Barizah Mohd Alawi, 10.

Beliau berkata ketika kejadian, dua lagi anak pasangan itu tiada di rumah kerana menetap di asrama.

“Anak mangsa yang tiada di rumah ialah Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, yang merupakan pelajar Kolej Matrikulasi Gambang, Kuantan dan Ahmad Balia Murqam Mohd Alawi, 15, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shahril berkata hasil siasatan turut mendapati rumah berkenaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu, namun jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata bomba tiba di lokasi kejadian pada 4.15 pagi dan operasi pemadaman berjaya mengawal api pada 4.48 pagi.

Beliau berkata kebakaran memusnahkan 100 peratus struktur rumah, selain turut melibatkan masing-masing tiga kereta dan motosikal.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619