Tiga daerah di Sabah banjir susulan hujan berterusan sejak semalam

20 Feb 2026, 1:25 AM
Tiga daerah di Sabah banjir susulan hujan berterusan sejak semalam

KOTA KINABALU, 20 FEB:- Hujan berterusan sejak semalam mengakibatkan tiga daerah di Sabah iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan dilanda banjir, pagi ini.

Menurut kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah, pemakluman mengenai situasi banjir di ketiga-tiga daerah itu telah dibuat Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) masing-masing dalam satu notis pengisytiharan bencana dikeluarkan pada 6 pagi tadi.

Pemakluman tersebut dibuat berdasarkan maklumat di lapangan dan laporan diterima daripada agensi tindak balas JPBD di ketiga-tiga daerah susulan situasi banjir yang menyebabkan kawasan dikenal pasti mula terjejas akibat bencana itu.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah memaklumkan banjir kilat telah berlaku di Taman Merpati Batu 7, Sandakan, awal pagi tadi.

Balai Bomba Penyelamat Sandakan menerima panggilan kecemasan pada 4.52 pagi sebelum anggota bertugas bergegas ke lokasi yang terletak 10 kilometer dari balai bomba tersebut, bagi membantu mengeluarkan mangsa banjir.

"Pasukan bomba telah bergerak ke lokasi bagi menjalankan pemantauan dan mendapati paras air di kawasan tersebut dalam keadaan terkawal.

"Tiada operasi pemindahan mangsa dijalankan," menurut kenyataan itu.

Pasukan bomba turut menasihati penduduk sekitar supaya berpindah lebih awal ke kawasan selamat sekiranya paras air meningkat.

Operasi ditamatkan pada 5.43 pagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619