Israel larang imam kanan masuk Masjid Al-Aqsa, ketatkan premit Ramadan

18 Feb 2026, 12:31 AM
Israel larang imam kanan masuk Masjid Al-Aqsa, ketatkan premit Ramadan

BAITULMAQDIS: Seorang imam kanan Masjid Al-Aqsa mendakwa dihalang pihak berkuasa Israel daripada memasuki kawasan masjid berkenaan, hanya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Sheikh Muhammad Al-Abbasi berkata, sekatan itu berkuat kuasa sejak Isnin lalu namun beliau tidak dimaklumkan mengenai alasan larangan tersebut.

"Saya dilarang memasuki masjid selama seminggu, dan arahan itu boleh dilanjutkan.

"Saya baru kembali ke Al-Aqsa sebulan lalu selepas setahun berada di hospital akibat kemalangan jalan raya yang serius.

"Larangan ini sangat berat bagi kami kerana jiwa kami terikat dengan Al-Aqsa. Al-Aqsa adalah kehidupan kami," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, polis Israel pada Isnin mengumumkan cadangan mengeluarkan 10,000 permit kepada penduduk Palestin dari Tebing Barat yang memerlukan kelulusan khas untuk memasuki Baitulmaqdis sepanjang Ramadan.

Pegawai kanan polis Israel, Arad Braverman, berkata ribuan anggota keselamatan akan dikerahkan ‘siang dan malam’ di sekitar kawasan masjid, termasuk ketika solat Jumaat yang dijangka menghimpunkan jumlah jemaah paling ramai.

Sementara itu, Pejabat Gabenor Baitulmaqdis Palestin memaklumkan kriteria permit adalah sama seperti tahun lalu, iaitu lelaki berusia 55 tahun ke atas dan wanita 50 tahun ke atas sahaja dibenarkan memohon.

Pada masa sama, pihak berkuasa Israel turut dilaporkan menghalang Waqf Islam, badan pentadbiran yang diuruskan Jordan daripada melaksanakan persiapan rutin Ramadan seperti pemasangan khemah berteduh serta penyediaan klinik perubatan sementara di kawasan masjid.

Sumber Waqf memaklumkan, 33 kakitangan pertubuhan itu turut dikenakan larangan memasuki kawasan Al-Aqsa sepanjang minggu menjelang Ramadan. - Agensi

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619