SELANGOR

50 peratus keluar mengundi PRK Semenyih sehingga jam 1 tengahari

2 Mac 2019, 5:56 AM
50 peratus keluar mengundi PRK Semenyih sehingga jam 1 tengahari

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEMENYIH, 2 MAC: Sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan 54,503 pemilih berdaftar keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, setakat jam 1 tengahari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya menyasarkan 70 peratus keluar mengundi dalam PRK kali ini dan berharap orang ramai dapat keluar melaksanakan tanggungjawab itu.

"Kita berharap sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus dapat dicapai. Tetapi di Cameron Highland kita cuma dapat 68.9 peratus.

"Kita harap pengundi (dan) pihak parti dapat menyeru penyokong masing-masing untuk keluar mengundi. Daripada segi trendnya itu juga diharap dapat diperbaiki," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rinching, di sini.

Sementara itu, Azhar berkata, perjalanan proses pengundian juga berjalan lancar setakat ini dengan masa menunggu hanya 20 hingga 30 minit jika dibandingkan pada PRU14 lalu.

Ketika diminta mengulas berhubung kekecohan berlaku antara penyokong parti di Kampung Sesapan sebentar tadi, Azhar berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan insiden terbabit.

Difahamkan, pergaduhan itu tercetus apabila terdapat individu yang meletakkan kain rentang memaparkan imej isteri mantan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan turut tertera tulisan mengatakan 'Dia adalah Boss'.

"SPR tak dapat laporan berkaitan isu ini. Apapun, kita harap kalau ada ia dapat dihentikan kerana boleh menimbulkan masalah ketenteraman orang awam," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619