Lebih 700 tan e-waste dikesan di Pelabuhan Klang

13 Feb 2026, 1:01 AM
Lebih 700 tan e-waste dikesan di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 13 FEB: Lebih 700 tan sisa elektronik (e-waste) dan sisa terjadual lain dikesan di Pelabuhan Klang dalam operasi penguatkuasaan bersepadu Op Green Shield yang diketuai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Operasi berskala besar itu disifatkan antara tindakan paling agresif setakat ini dalam membanteras kemasukan haram e-waste di pintu masuk maritim tersibuk negara.

Sumber di pelabuhan memaklumkan lima operasi telah dilaksanakan setakat ini, dengan 81 kontena diperiksa secara fizikal hasil pemprofilan risiko dan risikan berterusan.

“Sebanyak 30 kontena didapati mengandungi sisa termasuk e-waste dan bahan kawalan lain,” kata sumber itu seperti dilapor NST.

Dalam operasi pertama dan kedua, sebanyak 52 kontena diperiksa dengan enam daripadanya disahkan mengandungi e-waste membabitkan 148.1 tan.

Operasi ketiga pula menyaksikan sembilan kontena diperiksa dan enam daripadanya mengandungi e-waste dengan jumlah keseluruhan 158.1 tan.

Operasi keempat merekodkan kadar pengesanan tertinggi apabila sembilan daripada 10 kontena yang diperiksa didapati mengandungi e-waste seberat 201.3 tan.

Dalam operasi pada Rabu, MCBA memeriksa 10 lagi kontena, dengan tujuh daripadanya mengandungi e-waste manakala dua lagi melibatkan sisa lain.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata Op Green Shield bukan operasi sekali jalan, sebaliknya sebahagian daripada strategi penguatkuasaan berterusan bagi menumpaskan sindiket yang cuba mengisytiharkan secara palsu atau menyeludup bahan buangan ke negara ini.

Beliau berkata, pemeriksaan terbaharu melibatkan 10 kontena yang telah ditandakan untuk pemeriksaan fizikal.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sirim Bhd, Polis Diraja Malaysia, Lembaga Pelabuhan Klang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619