137 masjid, surau di Gombak terima sumbangan Ihya’ Ramadan RM1.6 Juta

10 Feb 2026, 12:52 PM
137 masjid, surau di Gombak terima sumbangan Ihya’ Ramadan RM1.6 Juta

AMPANG JAYA, 10 FEB: Sebanyak 137 masjid, surau dan madrasah di Parlimen Gombak menerima sumbangan Ihya’ Ramadan berjumlah RM1.6 juta.

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, di sini, hari ini.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, penerima sumbangan merangkumi 22 masjid, 20 surau Jumaat , 77 surau serta 18 musolla atau madrasah di kawasan Parlimen Gombak.

“Sumbangan ini memang setiap tahun kita ada untuk program Ihya’ Ramadan dan kita beri sumbangan kepada masjid dan surau.

“Semoga dengan sumbangan ini, program pengimarahan sepanjang Ramadan ini dapat dijalankan dengan baik oleh pihak mereka.

“Biasanya masjid atau surau ini mereka akan gunakan untuk program Ihya’ Ramadan seperti moreh setiap malam, tadarus dan juga seperti Nuzul Quran yang mereka akan gunakan untuk bantuan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media selepas majlis sumbangan Ihya' Ramadan Parlimen Gombak 2026 di Masjid Al-Hidayah, Ampang Jaya pada 10 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Mengulas lanjut, Ahmad Azri berkata Yayasan MBI meneruskan pelaksanaan program Ihya’ Ramadan tahun ini dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM4 juta.

Jelasnya, peruntukan itu merangkumi sumbangan kepada masjid dan surau, bantuan kepada kumpulan rentan, sumbangan kurma dan kuih raya, selain pelbagai program bagi mengimarahkan Ramadan.

Sementara itu, Pengurus Masjid Jamek Al-Amaniah Gombak, Habib Abdul Fisol berkata sumbangan RM20,000 yang diterima akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan program pengimarahan Ramadan di masjid berkenaan.

“Antaranya berbuka puasa setiap hari yang akan disertai kira-kira 400 jemaah setiap hari, sumbangan bubur lambuk. Jadi sumbangan ini boleh membantu perbelanjaan program itu,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Surau Al Ehsan Kampung Baru Batu Caves, Ramlan Suparman berkata sumbangan RM10,000 yang diterima bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah membolehkan lebih banyak aktiviti keagamaan dan kebajikan dilaksanakan sepanjang Ramadan termasuk program khatam al-Quran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619